Fiuu perkenal penyelesaian VIS kepada perniagaan

Perniagaan

PETALING JAYA: Fiuu, peneraju platform teknologi kewangan (fintech) terkemuka di Asia Tenggara kini bekerjasama dengan Visa untuk memperkenalkan Penyelesaian Ansuran Visa (VIS) kepada perniagaan di rantau ini. 

VIS ialah penyelesaian masa nyata yang dikuasakan oleh platform Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) dan dipacu API, yang boleh disepadukan dengan proses pembayaran sedia ada. 

Fiuu berkata, penyelesaian ini membolehkan perniagaan menawarkan pilihan ansuran yang lebih mudah, sekaligus meningkatkan jualan dan memperkasakan pengalaman pelanggan.

“VIS melangkaui penyelesaian BNPL tradisional dengan memanfaatkan rangkaian luas Visa. 

“Peniaga Fiuu kini boleh menerima pembayaran ansuran yang dikeluarkan oleh penerbit VIS di Malaysia, Singapura dan Filipina. Penyelesaian ini meluaskan landskap pembayaran, menawarkan pengguna lebih fleksibiliti dan akses kepada pilihan pembayaran yang mereka inginkan,” katanya dalam kenytaaan 

Ketua Pegawai Eksekutif Fiuu, Eng Sheng Guan berkata, beberapa peniaga terkemuka seperti Samsung, Electrolux, BWL Group dan banyak lagi telah mengintegrasikan VIS ke dalam platform mereka melalui Fiuu. 

“Penggunaan meluas ini mencerminkan komitmen untuk memperkasakan pengalaman pelanggan dan menawarkan penyelesaian pembayaran yang fleksibel.

“VIS merupakan kemajuan penting dalam komitmen kami terhadap inovasi dalam penyelesaian pembayaran. Kerjasama dengan Visa membolehkan kami memperkasakan peniaga dan pelanggan dengan pilihan pembayaran yang fleksibel, sekali gus meningkatkan pengalaman membeli-belah secara menyeluruh,” katanya. 

Selain itu, jelasnya, integrasi VIS memastikan peniaga dapat menawarkan pengalaman pembelian yang lebih lancar, mudah, dan disesuaikan kepada pelanggan mereka. 

“Inisiatif strategik ini mencerminkan dedikasi Fiuu dalam memenuhi keperluan pelbagai pelanggan dan melancarkan proses pembelian secara menyeluruh.

Sementara itu, Ketua Fintech dan Peniaga Visa Malaysia, Lim Gaik Lin berkata, pihaknya teruja mengumumkan kerjasama dengan Fiuu dalam memperkenalkan Penyelesaian Ansuran Visa kepada lebih banyak peniaga di rantau ini. 

“Dengan permintaan untuk penyelesaian BNPL yang terus meningkat, penting untuk menyediakan pilihan pembayaran fleksibel bagi memenuhi keperluan pelanggan kad kami. 

“Kerjasama ini akan membolehkan peniaga Fiuu menawarkan pengalaman pembayaran ansuran yang lancar dan mudah, selain memperkasakan pengguna untuk mengurus kewangan mereka dengan lebih berkesan. 

“Sehubungan itu, kami komited untuk meningkatkan pengalaman membeli-belah dan memacu inovasi dalam industri pembayaran,” katanya. 

Menerusi jangkauan serantau, integrasi lancar,ndan kerjasama strategik, Fiuu bersedia merevolusikan pengalaman pembayaran untuk perniagaan dan pengguna di seluruh Asia Tenggara. 

“Kerjasama dalam memperkenalkan penyelesaian inovatif ini bakal memperkasakan perniagaan dengan capaian dan fleksibiliti yang lebih meluas, sambil menawarkan pengguna kemudahan dan pengurusan kewangan yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN