CYBERJAYA: Jawatankuasa Khas (JKK) Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mendapati berlaku pelanggaran undang-undang melibatkan lesen perniagaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam insiden gangguan bekalan air akibat pencemaran air di Sungai Kuang, pada 22 Julai lalu.
Pengerusi SPAN, Charles Santiago berkata, hasil siasatan, penyewa utama premis berkenaan yang mempunyai lesen perniagaan sah telah membenarkan penyewa sub mengguna pakai lesen tersebut tanpa pengetahuan PBT.
“Dalam situasi ini, perhubungan antara penyewa utama dan penyewa sub amat mencurigakan. JKK SPAN berpandangan, ia membuka ruang aktiviti tidak dilesenkan supaya tidak dapat dikesan pihak berkuasa.
“Selaku penyewa utama sepatutnya mempunyai pengetahuan tentang jenis dan aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh penyewa sub. Mereka patut sedar apa-apa pelepasan sisa dari penyewa sub mengalir melalui premisnya dan seterusnya aliran itu akan memasuki sungai berhampiran,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Charles membentangkan laporan setebal 67 muka surat berhubung insiden gangguan bekalan air berpunca daripada pencemaran air di Sungai Kuang, yang merupakan anak sungai di Lembangan Sungai Selangor.
Jelas beliau, laporan Penilaian Kesan Awal Kepada Alam Sekeliling (EIA) juga mendapati penyewa utama premis yang mendapat kelulusan laporan EIA telah membenarkan penyewa sub mengguna pakai laporan itu tanpa pengetahuan atau kebenaran Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Katanya, kedua-dua syarikat ini mempunyai operasi perniagaan sama iaitu berasaskan kitar semula sisa plastik.
“Ada kemungkinan bahawa kedua-dua perniagaan ini adalah berkait dan penyewa utama menggunakan penyewa sub sebagai satu proksi untuk melaksanakan aktiviti tidak dibenarkan di dalam lesen perniagaan mereka,” katanya.
Tambahnya lagi, JKK SPAN melalui lawatan pemeriksaan tapak menemui sebuah pembentung yang dibina di dalam premis dan tidak ada dalam pelan yang diluluskan PBT.
“Aliran anak sungai Lampan Yu didapati mengalir masuk ke longkang premis melalui pembentung itu dan seterusnya mengalir ke Sungai Kuang sebagai tempat akhir pembuangan,” katanya.
Dalam pada itu, Charles berkata, pada tahun ini, SPAN merekodkan sebanyak empat daripada 20 insiden pencemaran air mentah di Selangor yang menyebabkan henti tugas loji rawatan air, termasuklah insiden pencemaran bau di Sungai Kuang yang melibatkan kilang kitar semula.
Oleh itu, katanya, proses pemutihan harus dikaji semula dan terdapat banyak lagi kilang-kilang mencurigakan di kawasan berkenaan.
“Kita desak PBT berkenaan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kerajaan Negeri Selangor untuk menggempur kawasan tersebut (Kuang).
“Kita buat langkah demi langkah, (periksa) lesen mereka, EIA (penilaian impak alam sekitar) mereka, adakah mengikut cara-cara yang telah ditetapkan. Ini adalah penting kerana ia berkait dengan kesihatan dan keterjaminan air untuk rakyat.
Pada 23 Julai, media melaporkan pencemaran bahan terjadual, Poly Methacrylic Acid (PMAA) akibat kebocoran tangki sebuah kilang plastik di Kuang dikenalpasti menjadi punca empat Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihenti tugas. – UTUSAN