KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti cadangan kebolehgunaan produk insurans, takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) secara mudah alih bagi memastikan akses penjagaan yang berterusan serta berkesan.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kriteria yang diperlukan bagi cadangan tersebut adalah termasuk mekanisme perkongsian data seperti rekod polisi.
Kata beliau, ia memerlukan maklumat yang tepat dan terkini mengenai sejarah tuntutan pemegang polisi, tempoh menunggu dilalui dan manfaat dikumpulkan.
“Mekanisme perkongsian ini disokong oleh infrastruktur teknologi yang mencukupi seperti pangkalan data bagi membolehkan syarikat insurans dan pengendali takaful mengesahkan serta memindahkan maklumat pemegang polisi dengan selamat,” katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) yang memintanya menjelaskan mengenai keperluan pengguna kad perubatan dan perlindungan takaful menukar pengendali takaful mereka tanpa perlu kiraan semula tempoh menunggu.
Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, produk MHIT adalah berbeza dengan nombor telefon bimbit.
Ini kerana, jelasnya, produk tersebut melibatkan pengumpulan risiko jangka panjang dan keperluan tingkah laku pengguna yang terhad.
“Tempoh menunggu dalam penukaran pengendali takaful atau insurans dibuat bertujuan mencegaj penipuan atau penyalahgunaan iaitu bagi mengelak pemegang polisi yang baharu, di kenal pasti dengan keadaan perubatan tertentu mengambil kesempatan terhadap perlindungan insurans tanpa menyumbang kepada kumpulan risiko terlebih dahulu.
“Ini akan memudaratkan kos tuntutan dan premium atau sumbangan, seterusnya menjejaskan tahap mampu milik bagi pemegang polisi yang lain dan kesinambungan produk MHIT,” jelasnya. – UTUSAN