PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mendakwa BCS Aviation (Sarawak) Sdn. Bhd. (BCS Aviation) dan Pengarahnya, Datuk Sri Robert Song Tung Wei atas 60 kesalahan berkaitan operasi pengisian bahan api pesawat yang dijalankan tanpa Lesen Pengendalian Darat (GHL) yang sah dikeluarkan oleh MAVCOM.
MAVCOM berkata, pendakwaan tersebut difailkan di Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak.
“GHL yang dikeluarkan oleh MAVCOM diperlukan bagi mana-mana individu atau syarikat yang berhasrat untuk mengusahakan perkhidmatan pengendalian darat di Malaysia. Perkhidmatan ini merangkumi aktiviti seperti pengisian bahan api pesawat.
“BCS Aviation telah didakwa atas 30 kesalahan di bawah Seksyen 37(1) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771], manakala Robert Song turut didakwa atas 30 kesalahan yang sama di bawah Seksyen 37(1), dibaca bersama Seksyen 92(2)(b) Akta 771, dalam kapasiti beliau sebagai Pengarah BCS Aviation.
“Kesalahan-kesalahan tersebut didakwa berlaku di North Pan Hangar, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, dalam tempoh 29 Julai hingga 18 Ogos 2019. Datuk Akim Matrang bertindak sebagai wakil BCS Aviation dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan.
Jelas MAVCOM, kedua-dua BCS Aviation dan Robert Song bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.
“Pertuduhan tersebut dibacakan kepada kedua-dua tertuduh di empat Mahkamah Sesyen berasingan di Kuching, Sarawak, pada 4 Disember 2024, di mana empat Hakim Mahkamah Sesyen, iaitu Iris Anak Awen Jon, Afidah Abdul Rahman, Musli Ab. Hamid dan Saiful Bahari Adzmi mengarahkan Robert Song membayar ikat jamin RM30,000 tanpa deposit bersama dua penjamin tempatan.
“Di samping itu, Akim Matrang sebagai wakil BCS Aviation, dikehendaki membayar bon kehadiran berjumlah RM5,000 (tanpa deposit) bagi setiap kes,” katanya.
Pendakwaan ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azhari Yusof, manakala Datuk Azrin Ahmat dan Samuel Bong masing-masing mewakili BCS Aviation serta Robert Song.
Sekiranya sabit kesalahan, setiap mereka yang tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pengurusan kes prabicara telah dijadualkan pada 16 Januari 2025.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim menyatakan, MAVCOM menekankan kepentingan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan industri yang merupakan keperluan asas untuk penyertaan dalam industri ini.
“Semua pemain industri penerbangan wajib mendapatkan kesemua kelulusan yang diperlukan sebelum memulakan operasi, selaras dengan undang-undang Malaysia serta piawaian antarabangsa.
“MAVCOM komited dalam matlamatnya untuk melindungi industri penerbangan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran peraturan,” katanya. – UTUSAN