SHAH ALAM – Semua bahagian di ibu pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor disediakan Quran Corner untuk menggalakkan kakitangan mengisi waktu terluang dengan membaca al-Quran.
Pengerusi Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam JKR Selangor (Akrab), Ismail Hanafi berkata, setiap bahagian disediakan satu sudut menempatkan al-Quran wakaf yang diterima sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, amalan membaca al-Quran biasanya diisi ketika bulan Ramadan namun di JKR Selangor, kakitangan digalakkan meluangkan masa sekurang-kurangnya satu jam setiap hari untuk tujuan itu.
Bilik Akrab menjadi tempat kakitangan bersantai dan berehat.
“Semasa bulan Ramadan, kebanyakan kakitangan JKR Selangor akan mengisi isi waktu rehat dengan tadarus.
“Kalau hari biasa, kami galakkan kakitangan memperuntukkan masa satu jam setiap hari untuk mengaji terutama pada Jumaat pagi,” katanya ditemui pada program Refleksi Surah Al-Saff: My Dream Team di ibu pejabat JKR Selangor pada Jumaat.
Program itu dianjurkan bersama Akrab JKR Selangor dengan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).
Turut hadir, Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail dan Konsultan Kandungan WUIF, Ahmad Saifudin Yusof.
Program Refleksi Surah Al-Saff: My Dream Team anjuran Akrab JKR Selangor bersama WUIF di ibu pejabat JKR Selangor pada Khamis.
Program berlangsung di Dewan Anggerik bermula jam 9 pagi itu dihadiri lebih 100 kakitangan negeri dan daerah.
Program dimulakan Forum Refleksi Surah Al-Saff merangkumi bacaan surah itu disusuli sesi tadabbur dan solusi.
Ismail berkata, Akrab berperanan membantu mengembang dan mengukuhkan budaya kerja cemerlang serta mewujudkan penyelesaian masalah secara dalaman.
Katanya, program pengisian termasuk berbentuk kerohanian diadakan secara berkala sebagai sebahagian pemantapan kesihatan mental.
“Seperti program diadakan pada hari ini, ia merupakan inisiatif untuk memupuk kesedaran kakitangan bahawa amalan al-Quran dalam kehidupan seharian dapat memberi input terhadap kesihatan mental.
“Program berbentuk kerohanian ini sangat bertepatan dengan objektif penubuhan Akrab untuk pemantapan aspek kesihatan mental, tanggungjawab awam dan psikologi.
“Justeru, program seperti ini boleh diteruskan secara berkala pada masa akan datang,” katanya.
Peserta program Refleksi Surah Al-Saff: My Dream Team bergambar kenangan beramai-ramai.
Sementara itu, Fazrul berkata, surah Al-Saff merupakan surah yang akan dipilih bagi kempen pada tahun depan.
Menurutnya, inti pati surah Al-Saff membawa mesej kepentingan membentuk pasukan impian.
“WUIF meletakkan sasaran untuk mengadakan kempen ini di peringkat organisasi kerana banyak cabaran pasukan diberikan solusi dalam surah ini.
“Tadabbur yang diadakan pada hari ini menumpukan kepada tiga perkara kritikal untuk membentuk pasukan impian iaitu cakap serupa bikin, kedua bersungguh-sungguh menjayakan misi dan terakhir sanggup berkorban bagi mencapai kejayaan,” katanya.
Mengulas berkaitan perancangan tahun depan beliau berkata, program akan diisi dengan World Quran Hour, Malaysia Quran Hour serta Arafah Quran Hour selain mengaktifkan seluruh Quran Corner yang telah ditubuhkan.
Difahamkan, lebih 5,000 Quran Corner telah diwujudkan seluruh negara.