PETALING JAYA – Budaya Sarapan pagi di Malaysia kini mendapat tempat dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Perkara tersebut telah diumumkan pada sesi ke-19 Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk Pemeliharaan Warisan Budaya Tidak Ketara (IGC ICH) yang berlangsung di Asuncion, Paraguay dari 2 hingga 7 Disember.
Badan Penilai memutuskan Budaya Sarapan di Malaysia itu telah memenuhi semua kriteria yang digariskan oleh Konvensyen Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara 2003, UNESCO.
“Budaya Sarapan di Malaysia mencerminkan kepelbagaian budaya, keharmonian, penglibatan dan penerimaan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia dan merupakan elemen warisan kebudayaan tidak ketara.
“Kepelbagaian tersebut yang selari dengan kriteria UNESCO sekali gus memberi impak dalam hubungan sosial masyarakat serta mencerminkan kekuatan dalaman Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum,” jelas salah seorang penilai menerusi satu klip video yang tular di laman sosial X, ketika ini.
Dalam pada itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan hari ini, telah mengesahkan tentang pengiktirafan tersebut dan berkata, Badan Penilai memutuskan Budaya Sarapan di Malaysia telah memenuhi semua kriteria yang digariskan oleh Konvensyen Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara 2003, UNESCO.
“Kejayaan pengiktirafan budaya ini akan menggalakkan lebih banyak usaha perlindungan warisan tidak ketara dapat dilakukan secara sinergi melibatkan banyak pihak berkepentingan termasuk kerajaan bersama persatuan dan komuniti tempatan selain membuka peluang jaringan kerjasama lebih luas dalam pelbagai bidang,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, MOTAC melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) telah mengemukakan dokumen pencalonan Budaya Sarapan di Malaysia kepada pihak sekretariat UNESCO pada 30 Mac 2023 dan ia merupakan pencalonan pertama yang berkaitan dengan makanan serta gastronomi Malaysia.
Menurut MOTAC, pengiktirafan terbabit juga membuktikan komitmen kementerian itu dalam melindungi warisan kebudayaan tidak ketara, sejajar dengan Teras 3 Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN), iaitu memfokus kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya. – KOSMO! ONLINE