Abdul Muiz graduan USIM pertama terima sijil profesional tadbir urus korporat

Sains

SEREMBAN: Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Ke-22 yang berlangsung hari ini menambah kegembiraan buat graduan Ijazah Sarjana Muda Sarjana Muda Pentadbiran Korporat Fakulti Ekonomi dan Muamalat Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Abdul Muiz Abdul Wahab, 22.

Ini selepas dia turut sebelum ini menerima Sijil Profesional Setiausaha dan Tadbir Urus Korporat dari Institut Setiausaha Bertauliah dan Pentadbir Malaysia (MAICSA) yang menjadikannya sebagai graduan USIM pertama memperoleh pengiktirafan itu.

“Kejayaan ini membuktikan pelajar Ijazah Sarjana Muda mampu lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan dan penilaian profesional yang dikendalikan oleh Institut Tadbir Urus Bertauliah Malaysia (CGI MALAYSIA) bagi membolehkan saya berkhidmat dalam bidang pentadbiran korporat.

“Hari ini merupakan hari yang dinantikan saya dan rakan-rakan apatah lagi semasa sepanjang pengajian pelbagai kesukaran ditempuh termasuk hanya belajar secara dalam talian yang terbatas kerana pandemic Covid-19,” katanya ditemui pada Majlis Konvokesyen USIM Ke-22 di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai di sini hari ini.

Abdul Muiz yang kini bekerja dengan sebuah syarikat korporat terkemuka negara dalam pada itu memberitahu, sijil profesional itu kebiasaannya diambil oleh mereka yang berpengalaman dan sebagai seorang graduan sudah tentu kejayaan itu sangat membanggakan dirinya.

Sementara itu, turut bergelar graduan hari ini ialah Muhammad Afiq Arsyad Awang yang aktif dalam pertandingan debat termasuk mewakili negara di peringkat antarabangsa.

“Sebagai seorang pelajar dan pendebat aktif, saya akui menghadapi tekanan untuk membahagikan masa antara pelajaran dan pertandingan. 

“Ada kalanya, kesibukan itu memberi kesan kepada prestasi akademik namun saya tetap bersemangat dan berjaya akhirnya,” katanya yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan Islam hari ini.

Muhammad Afiq berkata, dia masih aktif mewakili universiti dalam pelbagai pertandingan debat termasuk yang terkini turut dipanggil untuk menyertai Pertandingan Debat Diraja di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas). – UTUSAN