BAM pertaruh barisan ‘terkuat’ ke Sukan SEA Thailand 2025

Sukan

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membawa pendekatan lebih agresif untuk menghadapi Sukan SEA Thailand 2025 apabila bakal menurunkan pasukan ‘terkuat’ pada temasya dwitahunan tersebut.

Pada edisi 2023, BAM membuat keputusan dengan menurunkan barisan pemain muda ke Sukan SEA Kemboja dan hasilnya skuad negara gagal membawa pulang pingat emas apabila hanya mampu membawa pulang dua perak dan empat gangsa.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh mengesahkan perancangan 2025 sedikit berbeza memandangkan tahun depan tidak banyak kejohanan utama sekali gus dapat menurunkan pemain terbaik di Thailand nanti.

Bagaimanapun, Kenny berkata, pemain yang pernah memenangi pingat di temasya dwitahunan tersebut seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan dikecualikan.

BAM sahkan mereka akan hantar skuad terkuat ke Sukan SEA Thailand 2025.

“Pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) sebentar tadi, kami telah membincangkan secara terperinci mengenai program untuk tahun depan, dan kami mendapat sokongan serta kerjasama daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

“Berkenaan dengan Sukan SEA, kami telah bersetuju untuk menghantar satu pasukan yang boleh dikatakan kuat dan kami berharap mereka dapat memberikan yang terbaik. Mengenai sasaran pingat, ia belum dibincangkan secara terperinci, tetapi kami sepakat untuk menghantar pasukan yang kuat.

“Kali ini kita ubah sebab tidak banyak kejohanan utama tahun depan. Tahun depan fokus utama kita adalah Piala Sudirman, Kejohanan Dunia dan Sukan SEA,” katanya ketika ditemui di MSN, hari ini.

Ketika ditanya mengenai kriteria pemain yang bakal terpilih mewakili negara, Kenny menambah pemain yang telah memenangi pingat pada temasya dwitahunan tersebut kemungkinan tidak diturunkan

“Definisi kuat itu kami akan perincikan kemudian. Namun, kami sudah bincangkan mengenai kriteria-kriteria yang diperlukan untuk menyenaraikan pemain nanti.

“Ketika ini, senarai pemain belum diumumkan lagi, namun pemain senior yang pernah memenangi pingat emas di Sukan SEA sebelum ini mungkin akan dikecualikan,” tambahnya.

Sebagai rekod, skuad badminton negara gagal mengulangi pencapaian sewaktu Sukan SEA Vietnam untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu emas apabila hanya mampu membawa pulang dua pingat perak dan empat gangsa.

Dua pingat perak di Kemboja berjaya disumbangkan dalam acara berpasukan dan beregu campuran, Yap Roy King-Chen Su Yin selain empat gangsa menerusi Leong Jun Hao dan Lee Shun Yang (perseorangan lelaki, Lee Xin Jee-Low Yee Yuan dan Cheng Su Hui-Su Yin (beregu wanita). -KOSMO! ONLINE