KUALA LUMPUR: Seramai 23,957 orang murid yang terjejas dengan banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sejak Monsun Timur Laut (MTL) bermula pada 5 November lalu.
Daripada jumlah tersebut, antara negeri yang mencatat jumlah tertinggi bagi murid yang tekesan adalah Kelantan iaitu seramai 17,873 murid, Terengganu (3,893) dan Kedah (1,580).
Sementara itu, terdapat sebanyak 470 buah institusi pendidikan telah beroperasi sebagai PPS iaitu melibatkan 392 sekolah rendah, 77 sekolah menengah dan sebuah kolej vokasional sejak MTL berlaku.
Setakat 8 pagi ini, terdapat sebanyak 117 buah sekolah yang masih beroperasi sebagai PPS melibatkan 93 buah sekolah rendah dan 24 buah sekolah menengah di negeri-negeri yang terjejas dengan banjir.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sehingga kini terdapat seramai 7,212 orang murid masih berada di PPS premis sekolah.
Kata beliau, 5,305 murid di Kelantan masih berada di PPS, Terengganu (1,090), Kedah (767), Melaka (30), Johor (18) dan Perak pula mempunyai seramai dua orang murid.
Sehubungan itu, jelasnya, Kementerian Pendidikan menggerakkan Pasukan Sokongan Pintar (SST) dan Pasukan Sokongan Akademi (AST) di PPS untuk membantu murid-murid berkenaan.
“SST terdiri daripada sukarelawan guru bimbingan dan kaunseling yang berpengalaman serta terlatih dalam menyokong emosi murid yang terkesan dengan situasi banjir. AST pula membantu murid meneruskan pembelajaran walaupun berada di PPS.
“Kementerian sentiasa memantau dari semasa ke semasa fenomena banjir ini demi menjaga kebajikan dan keselamatan warga KPM,” katanya semasa sesi soal jawab menteri (MTQ) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang memintanya menyatakan berapakah bilangan pelajar yang terjejas akibat banjir di seluruh negara dan jumlah sekolah yang digunakan sebagai PPS setakat ini.
Menjawab soalan tambahan, Fadhlina berkata, Ops Payung sudah menempatkan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di asrama yang selesa dan memberi bantuan persiapan untuk mereka menduduki peperiksaan seperti bahan pembelajaran serta alat tulis.
Katanya, seramai 310 kaunseler daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan KPM digerakkan kepada tiga negeri paling terkesan iaitu Kelantan, Terengganu serta Kedah bagi memberi sokongan emosi sebelum calon menduduki SPM.
“Seluruh kekuatan yang ada ini telah kita gerakkan dan ia berlangsung sepanjang tempoh SPM kerana mengambil kira luruhan-luruhan yang akan berlaku serta kita bersedia sepanjang tahun untuk memberi sokongan.
“Setakat ini di peringkat PPS, 1,580 orang jurulatih utama sudah diturunkan di semua PPS dan sekiranya ada dibuka lagi, kita akan tambah lebih ramai,” jelasnya.
Beliau berkata, ujian bertutur Bahasa Melayu SPM 2024 berjalan lancar tanpa masalah sejak hari pertama ia berlangsung.
“Kita beri fleksibiliti kepada pihak sekolah untuk mengatur yang mana boleh hadir pada hari pertama hingga keempat. Jadi tidak ada masalah untuk mereka menghadirkan diri kepada mana-mana sesi sehingga hari ini.
“Untuk persiapan di peringkat KPM, kita telah mengambil kira semua keadaan termasuk peperiksaan bertulis yang akan datang,” katanya. – UTUSAN