Cropmate catat premium 22.5% di Pasaran ACE

Perniagaan

PETALING JAYA: Cropmate Berhad (Cropmate), pemain utama dalam industri pembuatan baja konvensional dan khusus di Malaysia, memulakan dagangan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 24.5 sen sesaham, premium 22.5 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 20 sen.

IPO Cropmate berjaya mengumpul RM42 juta, yang mana RM17.1 juta akan diperuntukkan untuk menyokong objektif perniagaannya, manakala RM16.7 juta akan digunakan untuk membiayai pemerolehan aset strategik, termasuk Lot Kilang 8949 dan 8950.

Selain itu, sebanyak RM3.2 juta akan digunakan untuk perbelanjaan modal termasuk menaik taraf proses penimbangan automatik, menubuhkan makmal penyelidikan, pembangunan dan ujian serta pembelian peralatan dan kenderaan, dan baki RM5 juta pula untuk perbelanjaan penyenaraian.

Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Cropmate, Wayne Lau Yoon Kwai berkata, pencapaian itu adalah bukti kerja keras dan dedikasi kumpulan dan daya tahan pasukannya serta kepercayaan yang diberikan oleh pelabur dan pihak berkepentingan.

“Dana yang diperoleh melalui IPO akan membolehkan kami memperoleh aset pengeluaran utama, membiayai perbelanjaan modal dan menyediakan modal kerja tambahan, ini akan meningkatkan keupayaan untuk berkhidmat kepada sektor pertanian Malaysia.

“Sebagai syarikat baja pertama yang disenaraikan di Bursa Malaysia, kami komited untuk menyumbang kepada amalan perladangan yang mampan, menyokong matlamat keselamatan makanan negara, dan menyampaikan nilai jangka panjang untuk semua pemegang kepentingan kami,” katanya pada sidang akhbar penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia secara maya, semalam.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Cropmate, David Lee Cheng Fei berkata, lot Kilang 8949 dan 8950 itu adalah merupakan kilang yang sedang digunakan oleh syarikat, dan akan menggunakan RM16.7 juta untuk membelinya, termasuk aset strategik.

“Kami membeli lot kilang ini sebagai langkah untuk tidak lagi menyewa pada masa hadapan. Selepas pembelian ini, syarikat dapat menjimatkan kos berbanding menyewa kilang tersebut.

“Selain itu, kapasiti pengeluaran semasa syarikat adalah lebih 100,000 tan metrik setahun, tetapi masih terdapat ruang untuk penambahan hingga 220,000 tan metrik.

“Kami akan terus mengoptimumkan kapasiti ini untuk memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat,” katanya.

Ketika ditanya mengenai rancangan masa depan, David menjelaskan bahawa pasaran durian juga menawarkan peluang besar.

“Kami sedang fokus kepada inovasi untuk meningkatkan aroma, tekstur, dan kualiti produk kami bagi memenuhi permintaan pasaran domestik dan antarabangsa.

“Peningkatan permintaan di China dan negara-negara Asia lain dilihat sebagai peluang untuk meluaskan lagi pasaran,” katanya. – UTUSAN