KANGAR: Kerajaan negeri berhasrat membuka peluang buat kelab-kelab bola sepak baharu di Perlis susulan perkembangan di mana Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) digantung oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Mohd Ridzuan Hashim berkata, peluang yang dibuka itu adalah bertujuan bagi mewujudkan kesepakatan dalam membolehkan penubuhan sebuah persatuan bola sepak baharu di negeri ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan membantu kelab-kelab di bawah PFA namun perincian secara menyeluruh masih tidak dapat didedahkan buat masa ini.
“Kita akan bantu kelab-kelab di bawah PFA, namun bukannya PFA, malah ada beberapa perkara yang saya tak boleh sebut lagi. Buat masa ini, saya juga ada melihat persatuan dan kelab lain yang ada di negeri ini, dan kita nak bagi peluang pada kelab baru macam Kuala Perlis FC, Guar Syed Alwi FC dan beberapa lagi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mohd Ridzuan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan FAM menggantung PFA selepas gagal menjelaskan hutang mencecah RM1 juta dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Pengerusi Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM, Saaran Nadarajah berkata, PFA didapati gagal melunaskan tunggakan gaji serta pampasan kontrak bekas pengarah skuad Singa Utara pada 2019, Matt Holland.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan itu, Mohd Ridzuan berkata, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan PFA selepas ini bagi mendengar keluhan dan pandangan pihak terlibat.
“Saya tak ada komen apa (mengenai penggantunggan ini) dan saya juga tak dihubungi oleh presiden mereka. Cuma saya lepas ini nak juga bertemu mereka dan dengar dulu keluhan serta pandangan berhubung perkara ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohd Ridzuan berkata, buat masa ini, beliau juga dalam misi untuk bertemu dengan semua entiti-entiti di bawah portfolio belia dan sukan di negeri ini.
“Selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada minggu hadapan, kita juga akan bertemu dengan Majlis Belia Negeri, parti-parti politik, badan sukan dan pelbagai lagi untuk membincangkan mengenai aspek belia serta sukan. Ini adalah bagi membolehkan saya memunggut suara-suara mereka untuk memajukan sukan di Perlis, dengan cara Perlis,” katanya.-UTUSAN