Penolong pegawai perubatan pukul doktor diberi surat teguran

Kesihatan

IPOH: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah mengeluarkan surat teguran kepada penolong pegawai perubatan yang didakwa memukul seorang doktor lelaki dalam kejadian di Hospital Gerik, Jun lalu.

Pengarah JKN Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, surat teguran itu dikeluarkan selepas mendapati aduan dibuat doktor lelaki terbabit adalah berasas.

Katanya, aduan tersebut dibuat mangsa pada 4 Jun lalu dengan Jawatankuasa Siasatan Dalaman bagi menyiasat kes berkenaan ditubuhkan pada hari sama.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui JKN Perak mengambil maklum sebuah hantaran di media sosial dibuat individu bernama Aidid Nawawi Ghazali berkaitan insiden yang berlaku sewaktu bertugas di Hospital Gerik.

“Siasatan kes yang dijalankan pada 12 Jun kemudian mendapati bahawa aduan tersebut adalah berasas. Berikutan itu, surat teguran kepada pegawai terlibat telah dikeluarkan pada 31 Julai lalu,” katanya di sini hari ini.

Menurut, Dr Feisul Idzwan, surat pemakluman hasil siasatan dalaman berkenaan juga telah dihantar kepada pengadu pada 1 Ogos lalu.

Katanya, pengadu juga telah dihubungi oleh JKN Perak dan ditawarkan khidmat kaunseling.

“Bagi kes ini, kita juga menubuhkan Jawatankuasa Penyiasatan Bebas bagi menyiasat insiden berkenaan.

“KKM memandang serius sebarang perlakuan buli atau penggunaan kekerasan dan mempunyai toleransi sifar terhadap sebarang bentuk kekerasan di tempat kerja,” tegasnya.

Terdahulu, seorang pengguna Facebook bernama Aidid Nawawi Ghazali mendakwa trauma akibat dipukul sebanyak sembilan kali iaitu tujuh di belakang badan dan dua lagi di belakang kepala oleh penolong pegawai perubatan.

Doktor itu mendakwa insiden itu berlaku ketika beliau sedang merawat seorang pesakit wanita yang cedera akibat diserang dengan aurat pesakit itu terdedah.

Dalam perkongsian itu, Aidid Nawawi turut meluahkan rasa tidak adil dengan rumusan siasatan dalaman kerana pelaku tidak menerima apa-apa tindakan, tidak memohon maaf dan kekal boleh bekerja seperti biasa. – UTUSAN