PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pihak Digital Nasional Bhd (DNB) mengemukakan pelan perniagaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sehingga minggu depan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, arahan itu diberikan Perdana Menteri pada mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pagi tadi.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, tempoh itu diberikan supaya DNB menyelesaikan isu-isu berbangkit.
“Langkah pertama adalah pembentangan pelan perniagaan kepada MCMC diikuti dengan beberapa tindakan yang perlu diambil termasuk peruntukan spektrum untuk DNB,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, Perdana Menteri merasakan isu kelewatan pelaksanaan inisiatif Rangkaian Kedua 5G perlu diuruskan dengan lebih pantas.
Fahmi berkata, rangkaian 5G pertama dikelolakan oleh DNB, manakala rangkaian kedua pula dikendalikan U Mobile.
“Kedua-duanya masih perlu memberikan perancangan perniagaan. MCMC memaklumkan bahawa pihak U Mobile telah membentangkan perancangan perniagaan mereka pada awal minggu ini manakala, DNB diberikan sehingga minggu depan,” katanya.
Berhubung isu MyDigital ID pula, Fahmi berkata, Perdana Menteri menyifatkan jumlah yang mendaftar dengan My Digital ID masih terlalu rendah.
Katanya, setakat semalam, jumlah pendaftarannya mencecah 1.319 juta orang.
“Perdana Menteri merasakan jumlah ini masih terlalu rendah. Jadi isu dengan My Digital ID berkait langsung dengan keperluan untuk usaha ini dilipat-gandakan.
“Perdana Menteri telah memberikan My Digital ID tempoh masa yang singkat dalam dua minggu daripada mesyuarat tempoh hari (Rabu lalu) bagi mengemukakan kaedah untuk meningkatkan jumlah pendaftaran My Digital ID,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri melahirkan rasa kecewa dan marah dengan kelewatan serta pelaksanaan dua projek transformasi digital negara iaitu MyDigital ID dan Rangkaian 5G Kedua. – UTUSAN