KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengambil langkah mengejut apabila mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
Menjelang pemilihan pada Mesyuarat Agong Tahunan (AGM) MPM pada 14 Disember ini, Shapawi mendedahkan, beliau mendapat cadangan oleh sebahagian besar ahli gabungan terutamanya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persatuan Kanu Malaysia (MASCA).
Shapawi mendakwa, beliau sanggup keluar dari persaraannya untuk bertanding dalam MPM berikutan dakwaan ahli gabungan meluahkan kekecewaan mereka terhadap badan induk berkenaan.
“Saya bertanding untuk Presiden MPM bukan sahaja secara individu malah bertanding sebagai satu pasukan. Hal ini kerana, ada permintaan daripada ahli-ahli gabungan MPM dan telah merestui hasrat kami ini.
“Ahli gabungan kecewa, terutamanya dalam proses tadbir urus yang didakwa tidak menggambarkan pendirian berpasukan, ” kata Shapawi.
Dalam masa yang sama, Shapawi menambah bahawa beliau sedia menggalas tanggungjawab yang besar sekiranya memenangi kerusi No. 1 dalam badan induk terbabit.
Menurutnya, beliau tekad untuk membuat perubahan, terutamanya menyusun semula tadbir urus MPM supaya dilihat bekerja dalam sebuah pasukan.
“Memperkukuhkan tadbir urus ahli-ahli gabungan selari dengan tadbir urus MPM bagi membantu ahli gabungan dalam pembangunan sukan masing-masing di peringkat domestik selari dengan pengiktirafan PJS (Pesuruhjaya Sukan Malaysia) sebagai sebuah badan sukan yang berdaftar dengan Akta Pembangunan Sukan 1997.
“MPM tertubuh oleh penyatuan ahli-ahli gabungannya. Semangat berpasukan adalah faktor yang penting. Berpegang kepada asas-asas seperti yang digariskan melalui GPN (Gerakan Paralimpik Negara) yang telah disepakati sejak 2006,” katanya.
Untuk rekod, Shapawi menjadi antara nama yang berpengaruh dalam perebutan jawatan terbabit selepas memegang selaku Ketua Pengarah MSN pada 2014 sehingga 2023. – UTUSAN