WASHINGTON – Seorang penyerang lelaki bertopeng melepaskan tembakan ke arah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UnitedHealthcare, Brian Thompson pada waktu pagi di Manhattan, New York kelmarin, lapor portal berita RT semalam.
Brian, 50, yang sepatutnya berucap pada satu persidangan pelabur di Hotel Hilton Midtown, New York meninggal dunia selepas dikejarkan ke sebuah hospital tempatan.
Pada pukul 6.46 pagi (waktu tempatan), ketika dia menghampiri lokasi itu, seorang lelaki bertopeng yang berlegar di sekitar hotel penginapannya mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan beberapa das tembakan, kata polis kepada media tempatan.
Brian ditembak beberapa kali di dada dan polis mengesyaki CEO tersebut menjadi sasaran pembunuh upahan.
Beberapa saksi memberitahu akhbar New York Post bahawa suspek berkulit putih itu dikesan berada berhampiran hotel dan dipercayai sedang menunggu Brian.
Selepas menembak mangsa, suspek beredar dengan berjalan kaki sebelum mengayuh sebuah basikal untuk melarikan diri dari tempat kejadian, kata saksi.
Menurut New York Post, penyiasat-penyiasat kini sedang mencari rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) yang boleh membantu mereka mengenal pasti penembak CEO syarikat insurans kesihatan itu. – AGENSI