Polis siasat dakwaan penyanyi dirakam tidak berpakaian ketika diurut

Kesihatan

SUBANG JAYA – Polis sedang menyiasat dakwaan seorang penyanyi rap wanita yang menyatakan dirinya dirakam secara rahsia semasa serbuan dilakukan di sebuah pusat kecantikan dan kesihatan di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata serbuan itu dijalankan oleh pasukan Bahagian Operasi Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sebagai sebahagian daripada operasi pemeriksaan lesen perniagaan.

“Semasa serbuan, pasukan diarahkan untuk merakam video dan gambar sebagai bukti aktiviti di premis, selain pemeriksaan terhadap lesen perniagaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis itu tidak mempunyai lesen sah dan melanggar Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan 2013,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, wanita tersebut juga merakam tindakan anggota serbuan menggunakan telefon bimbitnya, sementara penguat kuasa mengesahkan tiada video atau gambar wanita tersebut dirakam oleh pihak mereka.

“Pengadu menjelaskan bahawa tindakan pasukan serbuan adalah selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh undang-undang.

“Bagaimanapun, kedua-dua pihak telah membuat laporan polis. Pengadu berhubung penularan video serbuan di media sosial dan wanita terbabit mendakwa dirinya dirakam ketika tidak berbaju semasa urutan,” jelasnya.

Tambah Wan Azlan, kes disiasat di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video dimuat naik penyanyi wanita tersebut mendakwa terdapat anggota penguat kuasa merakam dirinya yang tidak berpakaian ketika sedang berurut di sebuah pusat kecantikan dan kesihatan, di sini. – KOSMO! ONLINE