Anwar mahu universiti awam kerjasama dengan industri teknologi tinggi

Teknologi

GEORGE TOWN : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu universiti awam membuka ruang kerjasama lebih erat dengan pihak industri terutamanya dalam bidang teknologi tinggi bagi memenuhi keperluan semasa negara.

Anwar berkata, langkah itu penting bagi memastikan wujudnya sinergi antara pihak industri dan universiti untuk meneroka disiplin ilmu baharu khususnya dalam industri semikonduktor.

”Universiti perlu memberi ruang secukupnya kepada pihak industri untuk bekerjasama secara lebih agresif.

“Penyesuaian perlu dilakukan dari semasa ke semasa, namun cara terbaik untuk mendidik, melatih, meningkatkan kemahiran dan memperbaharui kemahiran adalah melalui sinergi antara industri dan institusi pendidikan,”katanya ketika berucap merasmikan inisiatif Penang Silicon Design @5km+ di sini hari ini.

Menurut Anwar, langkah itu juga selaras dengan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab semikonduktor serantau dan memenuhi keperluan negara yang memerlukan jurutera berkelayakan dalam industri berteknologi tinggi termasuk industri reka bentuk litar bersepadu (IC).

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia mempunyai dasar yang jelas dan kestabilan politik yang memudahkan negara menarik pelaburan asing.

Namun, katanya, cabaran utama adalah memastikan ekosistem pelaburan dilengkapi infrastruktur asas dan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Oleh itu, latihan dan pembangunan tenaga kerja perlu diberikan perhatian segera.

“Pihak universiti seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), serta institusi pendidikan tinggi di Perak dan Kedah, mesti segera meluluskan disiplin baharu untuk memenuhi permintaan industri,”katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, langkah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berjaya meluluskan penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) dan memulakan program itu dalam tempoh hanya empat bulan wajar dijadikan panduan universiti lain.

Katanya, pencapaian tersebut adalah satu rekod luar biasa dalam konteks pendidikan tinggi negara.

“Saya terkejut apabila UTM berjaya meluluskan dan memulakan program itu dalam tempoh empat bulan, satu rekod yang luar biasa di negara ini.

“Jadi saya amat menggesa rakan-rakan kita di USM misalnya agar cepat menyesuaikan diri dan memperkenalkan program baharu seperti yang diperlukan industri,” katanya.