Era baharu BN tak boleh bergantung kepada Ahmad Zahid

Politik

KUALA LUMPUR: Era baharu perubahan Barisan Nasional (BN) tidak boleh hanya bergantung kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sebaliknya perlu dimulakan oleh barisan kepimpinan anak muda gabungan tersebut.

Ketua Pemuda BN, Datuk Dr. Muhammad Akmal Salleh berkata, sebelum ini banyak pihak yang mengatakan bahawa gabungan itu sudah mati selepas mengalami kemerosotan.

Katanya, antara punca kemerosotan itu adalah disebabkan BN bukan lagi pilihan anak muda khususnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dengan begitu teruk sekali sebelum ini.

“Tetapi saya hendak berterima kasih kepada semua yang kekal setia bawa perubahan bukan sahaja dalam negara kita bahkan dalam BN ini dibuktikan apabila kita merampas kembali DUN (Dewan Undangan Negeri) Nenggiri dan Mahkota.

“Kita menang di keseluruhan saluran orang muda dalam kedua-dua PRK (Pilihan Raya Kecil) itu. Maksudnya apa, kalau kita ada iltizam yang kuat dan bawa politik yang betul, pastinya kita mampu untuk memberikan kepercayaan rakyat kepada BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Pemuda dan Puteri Sempena Sambutan Ulangtahun Jubli Emas Ke-50 BN, di sini hari ini.

Dalam ucapan ringkas itu, Dr. Muhammad Akmal berkata, perubahan dalam arena politik dan BN mesti dimulakan di bawah generasi baharu di dalam gabungan.

“Kita tidak ada masa lagi, perubahan itu mesti datang daripada kita, ini zaman kita dengan cara kita. Era baharu Barisan Nasional,” katanya.