KUALA LUMPUR: Wanita Barisan Nasional (BN) perlu mengerahkan kekuatan setiap jentera parti komponen bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada gabungan itu pada masa akan datang.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, ini disebabkan setiap parti komponen wanita BN mempunyai kekuatan tersendiri.
Katanya, wanita harus menjadi inspirasi kepada satu sama lain dan kekuatan itu boleh digunakan untuk bangkit semula.
“Ingatlah, kejayaan kita bukan hanya diukur melalui pencapaian individu, tetapi melalui pencapaian kolektif.
“Mari kita terus tanamkan semangat perpaduan dalam diri kita. Kesatuan bukan sekadar kata-kata indah. Ia adalah prinsip yang menjadi tunjang kekuatan kita,” katanya ketika berucap pada
Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 Wanita BN, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Menyentuh mengenai mengembalikan keyakinan rakyat, Noraini berkata, ia boleh dilakukan menerusi kepimpinan yang jelas.
Noraini berkata, walaupun 50 tahun adalah satu pencapaian yang besar namun mereka perlu terus bergerak ke hadapan.
Katanya, dengan usaha dan komitmen yang berterusan, kegemilangan BN mampu dikembalikan
“Jangan sekali-kali kita lupakan harapan rakyat kepada kita. Mari kita bersama-sama menguatkan tekad, menggandakan usaha, dan terus istiqamah dalam perjuangan ini.
“Sekali kita melangkah, kita akan terus melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan dan semangat. Mari kita buktikan bahawa wanita BN akan bersama mencipta kejayaan,” katanya.
BN ditubuhkan pada 1 Jun 1974 oleh Tun Abdul Razak Hussein, yang ketika itu menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO.
Gabungan BN terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).