Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Jeffrey Kitingan menolak cadangan seorang pemimpin Pemuda Umno yang menggesa dia mengambil alih jawatan ketua menteri Sabah daripada Hajiji Noor.
Dia mengulas gesaan Bendahari Pemuda Umno, Naim Kurniawan Moktar, pada Khamis lalu yang menggesa Hajiji berundur susulan skandal rasuah melibatkan beberapa Adun di Sabah.
Kitingan, yang juga timbalan ketua menteri, berkata tidak wajar Naim membuat kenyataan seperti itu berdasarkan tuduhan dan spekulasi yang tidak berasas.
“Tiada sesiapa yang didakwa atau diheret ke mahkamah (berhubung dakwaan skandal rasuah melibatkan beberapa Adun), tidak seperti beberapa pemimpin Umno.
“Adalah tidak adil untuk mengaitkan nama saya dan menimbulkan kekeliruan, perpecahan, dan spekulasi dalam kalangan ahli Gabungan Rakyat Sabah (gabungan memerintah) … atau mungkin ini atas nama satu permainan (politik)?” katanya seperti dilapor sebuah portal berita hari ini.
Minggu lalu, seorang pemberi maklumat mendedahkan tujuh video kepada Malaysiakini yang mengaitkan beberapa Adun Sabah dalam perbincangan berkaitan rasuah sebagai balasan menyokong permohonan lesen cari gali sumber mineral di negeri itu.
Pendedahan ini menyusul selepas empat video lain yang didakwa memaparkan perbincangan tersebut didedahkan bulan lalu, dengan dua daripada klip itu tidak lengkap.
Susulan itu Hajiji kini berdepan desakan agar melepaskan jawatan. Adun Sulaman itu bagaimanapun menafikan terlibat dalam skandal berkenaan dan menjanjikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa jika dia disiasat.
Kelmarin, Naim berkata pengerusi Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS) itu perlu melepaskan jawatannya secara bermaruah demi masa depan ekonomi negeri dan rakyat.
Sebagai ganti, Naim mencadangkan Kitingan menggantikan tempat Hajiji.
“Kita perlu mengakui bahawa deficit of trust (kemerosotan keyakinan) akan meningkatkan risiko kemelesetan ekonomi Sabah.
“Saya yakin bahawa Datuk Seri Hajiji juga memahami konsep “risk management” dalam disiplin ekonomi.
“Oleh itu, berundurlah secara bermaruah demi kepentingan ekonomi rakyat dan ekonomi Sabah sebelum potensi perkembangan ekonomi menerusi pelaburan asing terjejas,” ujarnya.