Syafiq tak sabar beraksi bertemu Kemboja

Sukan

PETALING JAYA: Penyerang Harimau Malaya, Syafiq Ahmad mengakui berasa teruja untuk memulakan kempen Piala ASEAN 2024 menentang Kemboja dalam aksi pertama kejohanan itu di Stadium Olimpik, Phnom Penh, esok.

Kali terakhir pemain berusia 29 tahun itu mewakili negara di kejohanan tersebut empat tahun lalu dan selepas itu namanya tidak disenarai pendek bersama Harimau Malaya pada edisi 2022.

Lebih mengujakan Syafiq adalah kali ini dia turut diberi peranan untuk menggalas tugas kapten bersama dua lagi rakannya iaitu Dominic Tan dan Syamer Kutty Abba.

“Saya berada teruja untuk kejohanan ini. Untuk pasukan, saya percaya kami boleh pergi lebih jauh dan secara peribadi, saya nak dapatkan sesuatu dalam kejohanan ini.

“Mungkin kita boleh melepasinya (peringkat kumpulan). Kami mahu memenangi setiap perlawanan. Bagi saya, adalah lebih baik kami mengambil selangkah demi selangkah untuk melihat sejauh mana kami boleh pergi.

“Setiap perlawanan adalah penting dan esok (hari ini) saya berharap kami boleh mendapat keputusan positif,” katanya kepada pemberita dalam sidang media rasmi sebelum perlawanan.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai pengunduran jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente selepas kejohanan tersebut tamat, Syafiq berharap keputusan positif dapat dicapai oleh pasukan.

“Sebagai pemain kami tahu jurulatih akan meninggalkan pasukan dan kami kena profesional. Jadi, kami nak berikan sesuatu kepada jurulatih. Kami kena berikan segala-galanya dalam padang dan buat apa yang jurulatih mahukan. Kami mahu dapatkan kejayaan dalam kejohanan ini,” katanya. – UTUSAN