Filem Terbaik FFM33, Abang Adik atau Imaginur

Sains

KUALA LUMPUR – Mendominasi dengan 15 dan 11 daripada 24 kategori pencalonan, Imaginur serta Abang Adik diramal menang besar, termasuk berpotensi cerah menjulang trofi Filem Terbaik pada kemuncak Festival Filem Malaysia ke-33 yang bakal berlangsung pukul 8.30 malam ini.

Di tangan Nik Amir Muhammad selaku pengarah, Imaginur yang lari sedikit lagi daripada drama cinta konvensional sebaliknya ke hadapan dengan genre sains fiksyen sememangnya diharap memberi evolusi buat industri perfileman tanah air seiring tema penganjuran tahun ini Evolusi Sinema Malaysia (EMAS).

Pada masa sama pencapaian cemerlang Abang Adik arahan Jing Ong bersaing dalam kategori Pengarah Harapan, Lakon Layar Terbaik, dan Pelakon Lelaki Harapan itu dalam festival di luar negara harus juga dilihat sebagai kayu pengukur.

Drama kekeluargaan tersebut menyorot kehidupan dua anak yatim piatu, lakonan Jack Tan dan Wu Kang Ren, dalam perjuangan mencari erti kebahagiaan.

Karya terbitan More Entertainment itu juga melakar nama di persada antarabangsa apabila meraih pelbagai anugerah, antaranya Filem Terbaik di Festival Filem Asia Antarabangsa Los Angeles dan Festival Filem Asia New York. Selain dua filem tersebut, lima karya lain yang turut mencabar kategori Filem Terbaik ialah Duan Nago Bogho, Sheriff: Narko Integriti, Mechamato Movie, Hungry Ghost Diner, dan Rain Town.

Imaginur yang menampilkan lakonan cemerlang Beto Kusyairy juga memberi saingan sengit kepada calon kategori Pelakon Lelaki Terbaik Zul Ariffin (Sheriff), Shaheizy Sam (Polis Evo 3) dan Chew Kin Wah (Rain Town)

Satu lagi trofi tumpuan pastinya Aktres Terbaik dengan kemunculan nama Susan Lankester (Rain Town) yang baru sahaja dijulang sebagai Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Akademi Kreatif Asia 2024 beberapa hari lalu. Jika juri berpihak kepada filem tanpa sempadan bahasa atau budaya, Susan sudah ada asas untuk menang mudah mengatasi lakonan Diana Danielle (Imaginur), Nadia Aqilah (Eva), Nabila Huda (Rahsia), dan Chen Keat Yoke (Hungry Ghost Diner).

Kategori Pengarah Terbaik dijangka menjadi medan saingan antara Nik Amir Mustapha (Imaginur) dan Syafiq Yusof (Sheriff: Narko Integriti), yang masing-masing membawa sentuhan unik dalam karya mereka. Calon lain termasuk Sabri Yunus (Duan Nago Bogho), Tunku Mona Riza (Rain Town) dan Nizam Razak (Mechamato Movie) turut tidak memberi laluan mudah.

Malam ini, pemenang kategori utama bakal menerima RM5,000 beserta trofi, manakala penerima Anugerah Khas membawa pulang RM10,000.

Anugerah Filem Terbaik turut menawarkan insentif Dana Kandungan Kreatif bernilai RM500,000, menjadikan debaran malam ini lebih bermakna buat industri seni tanah air. – KOSMO! ONLINE.