PUTRAJAYA – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) diarah untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana di kawasan berisiko tinggi.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, arahan itu dikeluarkan susulan amaran Jabatan Metereologi (MetMalaysia) berkenaan hujan berterusan yang dijangka berlaku sehingga 11 Disember ini.
Katanya, amaran itu melibatkan tujuh negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Perak dan Johor yang berkemungkinan mengakibatkan gelombang kedua banjir.
“Semua jawatankuasa diminta untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam tindakan kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir berdasarkan surat pekeliling ikhtisas dan surat siaran yang sedang berkuat kuasa.
“Panduan Pengurusan Bencana Banjir Institusi Pendidikan KPM merangkumi tindakan yang perlu diambil sebelum, semasa dan selepas bencana banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi menghadapi Ujian Amali Sains, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan berlangsung pada 9, 10 dan 12 Disember, KPM telah mengaktifkan prosedur standard operasi Ops Payung.
“Ini penting bagi memastikan ujian berkenaan dapat berjalan lancar dan tiada calon yang terjejas,” ujarnya.
KPM berkata, pihaknya komited memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid, guru serta seluruh warga terpelihara dalam menghadapi bencana banjir. – KOSMO! ONLINE