TUMPAT – Sebanyak 10,272 kes penyakit berjangkit dikesan di enam buah negeri yang terlibat dengan banjir gelombang pertama baru-baru ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 6,730 kes jangkitan salur pernafasan (ARI), jangkitan kulit (3,021), kes keradangan pada lapisan usus (298), konjunktivitis (190), cacar air (20) selain penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dikesan sehingga semalam.
Katanya, kesemua kes penyakit berjangkit itu dilaporkan sporadik, namun mangsa terlibat masih stabil.
“Bagaimanapun, tiada wabak penyakit dilaporkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Kes-kes penyakit berjangkit itu dikesan di negeri-negeri terjejas banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Perak, Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir di PPS Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat, Pengkalan Kubor di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dzulkefly memberitahu, orang ramai perlu peka dengan arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa dan sentiasa mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan kendiri bagi mencegah penularan penyakit berjangkit.
Menurutnya, sebanyak 26 pasukan perubatan dengan 110 anggota kesihatan dari lapan negeri telah dimobilisasi ke Kelantan. – KOSMO! ONLINE