PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan Johor akan menyertai Kuala Lumpur, Sarawak dan Pulau Pinang bagi menjadi penganjur bersama untuk menganjurkan Sukan SEA 2027.
Bagaimanapun, Hannah berkata penyertaan Johor sebagai penganjur bersama hanya akan menganjurkan sukan bola sepak sahaja.
“Sekarang KBS (Kementerian Belia dan Sukan) telah mendapat pengesahan daripada Johor bahawa mereka turut menjadi hos bersama untuk sukan bola sepak. Ini satu berita baik kerana kalau kita bincang pasal infrastruktur, padang bola, stadium bola, tiada yang dapat menandingi Johor.
“Oleh sebab itu ini satu peluang untuk kita tunjuk infrastruktur bola sepak yang kita ada di Malaysia khas di negeri Johor untuk semua peserta Sukan SEA 2027,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian KBS MyLadies Esports 2024 di sini hari ini.
Terdahulu, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, memberi perkenan penganjuran bersama acara bola sepak Sukan SEA 2027 di Johor.
Dalam pada itu, Hannah berkata tiada sebarang dana akan diagihkan kepada Sarawak, Pulau Pinang dan Johor dari kerajaan pusat bagi menganjurkan temasya dwitahunan dengan penganjur bersama sudah dimuktamadkan dan tiada penambahan selepas ini.
“Tidak (dana diagihkan). Ini adalah dana akan datang dari penganjur bersama, macam Sarawak akan berikan 50 peratus daripada jumlah kos penganjuran, Pulau Pinang tawarkan RM15 juta dan Johor tawarkan RM5 juta.
“Setakat ini, ini sudah dimuktamadkan kerana kita sudah beri banyak surat sebelum ini dan ini adalah senarai akhir. Tidak ada (penambahan dari negeri lain),” katanya.
Hannah turut memberitahu satu mesyuarat jawatankuasa penganjur bakal diadakan pada Januari ini untuk membincangkan berkenaan penganjuran Sukan SEA 2027.
“Dalam mesyuarat itu, kita akan bincangkan jenis sukan yang akan dipertandingkan,” katanya. – UTUSAN