PETALING JAYA – Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan memaklumkan beliau tidak berhasrat untuk menyertai parti itu semula selepas keahliannya digantung selama enam tahun sejak Januari tahun lalu.
Dalam sesi podcast Keluar Sekejap baru-baru ini, Shahril berkata, beliau juga akan berehat daripada dunia politik dalam tempoh yang lama.
Menurut Shahril, beliau berandaian bahawa keahliannya digantung adalah disebabkan permohonannya kepada Presiden UMNO untuk mengambil tanggungjawab atas prestasi buruk UMNO pada pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.
“Keduanya apabila ada usaha dan usul untuk menutup pertandingan presiden dan timbalan presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU). Ini kerana, saya tak ada bagi sebarang ucapan atau pun menyerang secara terbuka,” katanya.
Mengulas lanjut, Shahril berkata, persoalan sama ada pendiriannya akan berubah bergantung kepada dua perkara tersebut.
“Kalau itulah sebabnya saya digantung tidak berubah, sukar untuk saya fikir macam mana saya nak mengimaginasikan diri saya dalam parti itu lagi.
“Sebab itu saya berada dalam UMNO sekian lama dan itu satu-satunya parti yang saya jadi ahli dan KJ (Khairy Jamaluddin) menjadi mentor saya pada satu ketika bila saya mula masuk,” jelasnya.
Dalam pada itu, selain idealisme parti, Shahril turut mempersoalkan adakah demokrasi dalam UMNO itu boleh subur serta terdapat kemahuan untuk menganbil tanggungjawab apabila prestasi parti buruk.
“Selagi dua benda itu tak wujud. Saya khuatir apa pun usaha saya tak relevan. Bukan hanya saya tak relevan, tapi keberadaan saya dalam satu organisasi tidak tidak mahu menerima perkara itu pun tak relevan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE