PETALING JAYA: Pasukan hoki wanita remaja kebangsaan membuka tirai Piala Remaja Asia 2024 selepas menumpaskan Thailand 3-0, malam tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Oman, Muscat itu, Young Tigress membuka jaringan seawal minit kesembilan menerusi pukulan penalti sudut oleh Nurshamine Azureen Mohammed Badusha.
Young Tigress berusaha keras untuk menambah jaringan namun menemui kebuntuan apabila keputusan kekal 1-0 hingga tamat separuh masa pertama.
Babak kedua menyaksikan Young Tigress mula dengan langkah kanan apabila Nur Syahirah Azwan menyempurnakan pukulan penalti sudut selang satu minit permainan bermula.
Pasukan kebangsaan yang selesa mendahulu dua jaringan kemudian menambah satu lagi gol menerusi Nor Zulaikha Nazihah Tamjit pada minit ke-54.
Nur Syahirah yang membuat penampilan kebangsaan pertama hari ini mencipta kejutan apabila dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan.
Young Tigress seterusnya melalui laluan sukar apabila dijadualkan menentang India, Isnin ini pada pukul 11 malam.
Pasukan bimbingan Lailin Abu Hassan dalam usaha memburu tiket kelayakan ke Piala Dunia Remaja Wanita secara merit.
Lima slot ke Piala Dunia ditawarkan buat pasukan yang bersaing di kejohanan kelayakan berkenaan dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama India, China, Thailand dan Bangladesh sementara Kumpulan B menampilkan Jepun, Korea, Hong Kong China, Taiwan dan Sri Lanka. – UTUSAN