PETALING JAYA: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah bakal berdepan laluan berliku apabila diundi dalam ‘kumpulan maut’ menjelang Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Rabu depan.
Pasangan No. 6 dunia itu harus mempamerkan pukulan terbaik di Hangzhou, China selepas diundi dalam Kumpulan A bersama gandingan tuan rumah yang juga beregu No. 1 dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning.
Selain mereka, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun serta beregu India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela turut menanti mereka di kumpulan berkenaan.
Sementara itu, acara beregu campuran menyaksikan pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dijadualkan bertembung awal selepas diundi dalam kumpulan sama, semalam.
Pasangan Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja dari Indonesia dan Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dari Jepun turut menjadi cabaran mereka dalam Kumpulan B.
Dalam pada itu, beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijangka akan menghadapi cabaran sukar apabila diundi menentang pasangan No. 6 dari China, Ren Xiang Yu-He Ji Ting dan dua gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Rian Ardianto dan Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi dalam Kumpulan B.
Beregu profesional lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mendapat laluan mudah apabila bakal menentang pilihan utama Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark dan juara Olimpik dua kali Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan serta rakan senagaranya, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dalam kumpulan A.
Lanjutan daripada itu, pemain profesional perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia harus menampilkan persembahan terbaik bagi memberi ‘hadiah’ terakhir kepada jurulatihnya, Wong Tat Meng yang akan menamatkan khidmatnya 31 Disember ini.
Pemain No. 8 dunia itu turut diundi dalam kumpulan maut selepas dijadualkan menentang pilihan utama, Anders Antonsen dari Denmark dan juara Sukan Asia 2022, Li Shi Feng dari China selain wakil Taiwan, Chou Tien Chen turut menjadi cabaran beliau.-UTUSAN