Sebar manfaat sebelum menutup mata

Perniagaan

SATU masa dulu, lebih tepatnya tahun 2003, Panggung Percubaan, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi saksi sorakan gemuruh penonton saat salah seorang pelajar Akademi Fantasia tersingkir pada konsert minggu ke-7 program realiti itu.

Sebaik sahaja nama Nana Mahazan disebut sebagai pelajar itu, penonton bersorak gembira ibarat meraikan jaringan gol dalam perlawanan bola sepak. 

Malam tersingkirnya Nana atau nama sebenarnya Nurul Hana Che Mahazan sebenarnya menjadi titik permulaan bagi hari-hari yang sukar untuknya. 

Menjadi antara individu yang paling dibenci dalam televisyen waktu itu, Nana menelusuri hari-hari kedepannya dengan kecaman dan cemuhan masyarakat.

Hari ini, selepas 21 tahun perjalanan seninya, Nana berdiri teguh. Pengalaman lebih dua dekad, termasuk fasa gelap kehidupan, melahirkan Nana Mahazan yang bukan sahaja seorang pengacara prolifik, malah usahawan berjaya yang menghasilkan rangkaian produk sendiri.

Nana harus berterima kasih kepada pengalaman hidup yang sebenarnya mengajar dan mempersiapkan dia untuk hari ini.

Dan tentu sekali, ibu kepada sepasang cahaya mata ini bersyukur kepada Tuhan kerana memudahkan laluan dan membuka banyak jalan keluar daripada setiap cabaran yang dilaluinya.

“Lebih dua dekad yang lalu, ibaratnya, setengah populasi dunia membenci seorang Nana Mahazan. Tapi bila difikirkan semula, apa yang saya lalui itu, perlu dan harus berlaku.

“Dulu saya merelakan diri saya dibenci, dikutuk, dikeji. Hasilnya, saya relevan selepas 21 tahun dalam industri seni. 

“Pengalaman mematangkan dan mendewasakan. Nana Mahazan hari ini adalah seorang wanita yang bersikap lebih positif, kental dan mampu bangkit sendiri selepas jatuh terduduk,” katanya.

Perjalanan hidup setiap manusia tertulis fasa turun naik. Nana juga tidak terkecuali berdepan laluan itu.

Pada 2011, Nana membuat keputusan paling berat dengan meninggalkan kerjaya sebagai penyampai radio demi menjadi suri rumah tangga sepenuh masa.

“Saya sudah semasak-masaknya berfikir sebelum membuat keputusan untuk meninggalkan dunia radio pada tahun itu. Waktu itu, tumpuan saya hanyalah untuk membesarkan anak-anak dan menjadi suri rumah sepenuh masa.

“Bila saya ambil keputusan itu, saya sudah sedia melepaskan apa nama Nana Mahazan yang orang kenali waktu itu. Memang waktu itu saya nekad untuk tidak bekerja.

“Tapi mengenai Nana Mahazan ini, dia bukan manusia yang boleh duduk diam. Jadi selepas berhenti menjadi penyampai radio, saya guna segala kreativiti yang ada untuk menghasilkan dan menjual gelang. Memang tertulis rezeki di situ, perniagaan membuahkan hasil sehingga saya tidak lagi perlu menyusahkan suami, mampu bayar sendiri rumah dan kereta menggunakan hasil berniaga.

“Dan Allah maha baik, rezeki saya tak pernah putus. Bila anak meningkat dewasa, satu per satu panggilan mengacara saya terima. Syukur, orang masih ingat Nana Mahazan mungkin kerana media sosial,” kongsinya lagi.

Seperkara tentang Nana, dia sikapnya sentiasa memandang ke depan. 

Personaliti televisyen berusia 41 tahun ini ingin terus memanjat tangga kejayaan, mengejar cita-cita dan pencapaian dan tidak pernah mahu berada dalam zon selesa.

“Pada satu saat, saya bertanya kepada diri saya sendiri, apa lagi selepas ini? Adakah saya terus mahu menjadi pengacara? Adakah setakat itu sahaja keupayaan saya?

“Sekarang saya kongsi motivasi di media sosial. Tak sangka orang terima dengan positif kandungan-kandungan motivasi yang saya kongsikan di Instagram dan TikTok. Dan atas kepercayaan itu, saya dijemput pula menjadi penceramah motivasi. Ya, saya ini bukanlah terpelajar sangat, sekolah pun tidaklah tinggi mana sampai mahu jadi penceramah motivasi.

“Tapi semua ini berbalik kepada niat saya yang mahu menjadi orang yang beri manfaat kepada manusia lain. Sebelum tutup mata, itu yang saya mahukan,” jelasnya.

JANGAN TUNGGU ORANG LAIN BIMBING KITA

Berat tanggung jawab seorang wanita Islam yang bersuamikan saudara baharu kerana si isteri itu juga berperanan besar dalam membimbing suaminya ke jalan agama.

Perkara itu lebih awal disedari Nana sebelum dia memutuskan untuk bergelar isteri kepada Mohamed Raqeem Brian Abdullah. 

Namun, Nana bersyukur, kerana Tuhan permudahkan segalanya. Tanggungjawab membimbing suami ke jalan Islam yang sebenar bertukar mudah tanpa paksaan.

“Mendalami agama itu atas kemahuan suami saya sendiri, bukan atas paksaan dan sebagainya. Solat, puasa dan sebagainya, dia belajar sendiri. Saya hanya tunjukkan contoh yang baik. Lama kelamaan, suami dengan sendirinya faham tuntutan agama. 

“Sebab itu saya rasakan diri saya sangat bertuah, segalanya dipermudahkan untuk suami saya.

Kalau ikutkan, untuk seorang isteri membimbing suami yang bergelar saudara baharu bukan perkara yang mudah. Besar cabarannya.

“Tapi saya gembira, Allah bagi apa yang saya minta, iaitu dibukakan dan dipermudahkan jalan untuk suami saya memahami dan mendalami agama. Allah itu terlalu baik kepada saya, sehinggakan, saya anggap diri tidak bersyukur kalau saya mengabaikan perintahnya,” kongsinya. 

Kongsi Nana, dia juga bersyukur kerana digerakkan hati untuk kebaikan dalam keluarga. 

“Sebenarnya, tak akan timbul isu suami tak bimbing isteri atau sebaliknya jika kita sendiri yang cari reda Tuhan itu.

“Jangan tunggu orang lain bimbing kita, kita sendiri yang kena cari dan Tuhan pasti akan bagi. Iya, mungkin dulu saya jahil, tapi itu harus berlaku, kerana dengan kejahilan itu saya belajar dan istiqamah.

“Contoh, saya gembira bila anak perempuan saya, Althea sendiri menyatakan hasrat mahu berhijab. Pernah terdetik persoalan, adakah anak aku ini benar-benar bersedia?

“Tapi itulah, inilah yang berlaku kalau semua yang kita inginkan datang dari hati dan bukan kerana paksaan,” katanya.

SISI PENGACARAAN YANG LEBIH MATANG

Selepas memutuskan untuk kembali aktif mengacara, Nana membuat keputusan tepat dengan memilih program atau rancangan yang menonjolkan sisi kematangan pengacaraannya.

Bergandingan dengan barisan personaliti ternama seperti Erra Fazira, Dahlia Shazwan, Hunny Madu, Faizal Ismail dan Haziq Hussni dan Keanu azman, Nana menganggap pembabitan dalam program Borak Seeni sebagai satu kepulangan ke Astro yang merupakan sebuah stesen  penyiaran yang menjadi institusi penting sepanjang kerjaya pengacaraannya.

“Kembali ke Astro untuk program ini besar maknanya buat saya. Tempat jatuh lagi dikenang. 

“Di stesen inilah saya membesar dan belajar. Pengalaman di Astro melahirkan Nana Mahazan hari ini. 

“Tapi, untuk program Borak Seeni ini kali ini, pendekatan yang saya ambil sedikit berbeza. Imej, pemikiran dan penyampaian juga kena berbeza. 

“Saya pun sudah matang, usia kini 41 tahun. Program ini terasa dekat dengan sisi keibuan saya apabila ada episodnya yang mengupas mengenai anak-anak dan ibu. Pengalaman yang sangat mahal,” jelasnya.