PETALING JAYA: Belum lagi kempen Piala ASEAN 2024 membuka tirai, pelbagai ‘gangguan’ terpaksa dilalui skuad Harimau Malaya, bermula dengan tidak dapat menghimpunkan skuad terbaik dan pengumuman kejohanan ini menjadi tugasan terakhir Pau Marti Vicente sebagai pengendali pasukan kebangsaan.
Apabila tiba di Phnom Penh, muncul pula gangguan lain apabila sesi latihan skuad negara diintip dron ketika Pau Marti sedang merencanakan ramuan terbaik untuk menghadapi Kemboja menjelang perlawanan pertama Kumpulan A Piala ASEAN 2024 di Stadium Olimpik, Phnom Penh, hari ini.
Berdasarkan rekod, Malaysia memiliki rekod cemerlang berdepan Kemboja apabila mencatat kemenangan bersih dalam 12 pertembungan terakhir melibatkan kedua-dua pasukan itu sejak tahun 1971.
Bagaimanapun, pertembungan kali ini dilihat lebih mencabar dan sukar susulan skuad kebangsaan hanya memiliki barisan campuran pemain muda serta berpengalaman.
Selain itu, mutu permainan Kemboja pula menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun, malah turut diperkuat dengan beberapa pemain naturalisasi sekali gus bakal memberi cabaran besar kepada skuad Harimau Malaya.
Begitupun, skuad yang dianggap tidak lengkap tanpa ramai pemain bintang itu tetap memiliki impian besar untuk mencipta sesuatu di Piala ASEAN 2024.
Kapten Harimau Malaya, Syafiq Ahmad menegaskan Harimau Malaya akan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan keputusan positif bermula pertembungan dengan Kemboja.
“Kami perlu berikan segala-galanya dalam padang dan kami mahu meraih pencapaian dalam kejohanan ini.
“Bagi saya, kami boleh dapatkan sesuatu dari kejohanan ini. Kami mahu menang dan kami perlu fokus satu langkah demi satu langkah untuk melihat sejauh mana kami boleh pergi. Saya harap kami dapat keputusan positif untuk perlawanan esok(hari ini),” katanya.-UTUSAN