JOHOR BAHRU: Kuala Lumpur City (KL City) bakal menjadi mangsa ‘lepas geram’ Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super, malam ini setelah gagal mengutip tiga mata pada aksi Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE), sebelum ini.
Ketua jurulatih Harimau Selatan, Hector Bidoglio pastinya akan membariskan skuad terbaiknya dalam mencari rentak kemenangan untuk meneruskan saingan Liga Malaysia (Liga M).
Misi mengutip tiga mata itu menjadi sasaran juara Liga Super itu bagi mengukuhkan kedudukan di persada liga, dibezakan 11 mata dengan pencabar terdekat seterusnya memburu kejuaraan yang ke-11.
Bagaimanapun, pemain tengah JDT, Juan Muniz mengingatkan rakan sepasukan agar tidak mudah berpuas hati dengan rekod tanpa kalah setakat ini sebaliknya sentiasa komited dan memberi tumpuan penuh bagi aksi di padang.
“KL City bukanlah lawan yang mudah, selain dibarisi pemain yang berkualiti, mereka juga bermain corak permainan pantas. Jadi, pemain perlu waspada agar tidak terjerat dengan gaya permainan mereka.
“Selain itu, JDT tidak mahu kecewa lagi apabila gagal mengutip tiga mata ketika bermain di laman sendiri, kita mahu mencari rentak kemenangan bagi memulanan pusingan kedua liga ini,” ujarnya.
JDT akan berdepan skuad kendalian Miroslav Kuljanac sebanyak tiga kali dalam bulan ini termasuk dua perlawanan suku akhir Piala Malaysia timbal balik pada 13 dan 21 Disember ini.
Walaupun berdepan lawan yang sama, ia adalah perlawanan yang berbeza dan mereka akan menganggap semua perlawanan itu sama penting seperti aksi final.
“Untuk pertemuan kedua dan ketiga, saya enggan ulas dahulu kerana kita perlu melalui aksi Liga Super ini terlebih dahulu dengan misi mengutip tiga mata.
“Keputusan perlawanan ini akan menjadi penentu bagaimana kita mencongak perlawanan seterusnya,” ujarnya.-UTUSAN