Thailand keluar amaran ‘Penyakit X’

Kesihatan

BANGKOK – Kementerian Kesihatan Thailand mengeluarkan amaran meminta orang ramai waspada terhadap sejenis penyakit misteri yang merebak pantas di Republik Demokratik Congo (DRC), lapor akhbar Bangkok Post semalam.

Penyakit tidak dapat dikenal pasti itu menyebabkan beratus-ratus orang jatuh sakit dan sekurang-kurangnya 79 orang terbunuh.

Setiausaha Kementerian Ke­si­hatan, Opas Kankawinpong berkata, semua agensi kesihatan kerajaan diminta untuk memantau pergerakan orang ramai dan perkembangan terkini berhubung penyakit itu meskipun Thailand dianggap sebagai negara berisiko rendah.

“Kami akan menumpukan pa­da semua stesen kawalan kesihatan di sempadan dan lapangan terbang kerana ini adalah barisan hadapan bagi orang yang masuk ke Thailand,” kata Kankawinpong.

Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Thailand masih belum mengumumkan sebarang langkah khusus untuk mengekang kemasukan penyakit itu.

Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong bagaimanapun mengetatkan langkah saringan untuk semua penerbangan masuk dari hab transit di Afrika mulai Khamis lalu.

Pegawai-pegawai kesihatan di DRC menjangkakan punca wabak penyakit berjangkit yang dinamakan ‘Penyakit X’ itu akan dapat diketahui dalam masa terdekat.

Menurut Pengarah Pusat Ka­walan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Afrika, Jean Kaseya, sekurang-kurangnya 200 daripada 376 pesakit yang dijangkiti adalah kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

Gejala penyakit itu seperti de­mam, sakit kepala, batuk, ke­sukaran bernafas dan anemia pertama kali dilaporkan pada 24 Oktober lalu di zon kesihatan Panzi, wilayah Kwango di barat daya DRC.

“Kami mengalami kelewatan hampir lima hingga enam minggu dan banyak perkara boleh berlaku dalam tempoh tersebut.

“Ujian berterusan akan membantu kami memahami punca penyakit ini,” tambah Kaseya.

Ketua Pengarah Institut Kesihatan Awam Kebangsaan, Dieudonne Muamba pula berkata, penyakit misteri itu muncul semasa peningkatan penularan influenza dan ia dipercayai merebak melalui udara.

“Spesimen pesakit sedang dianalisis di makmal kebangsaan di Kinshasa, kira-kira 500 kilometer dari zon wabak.

“Ujian dijangka selesai dalam masa 48 jam dengan keputusan bakal dikeluarkan pada hujung minggu ini,” kata Muamba.

Akhbar The Sun UK melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 70 orang termasuk sebilangan kanak-kanak di DRC meninggal dunia disebabkan oleh sejenis penyakit yang tidak diketahui puncanya.

Menteri Kesihatan DRC, Roger Kamba berkata, kebanyakan pesakit yang meninggal dunia itu mengalami masalah pernafasan.

“Kematian direkodkan dalam masa dua minggu antara 10 hingga 25 November lalu di Kwango.

“Pihak berkuasa tempatan mengesahkan sebanyak 71 kematian berlaku dan 382 kes penyakit misteri ini direkodkan.

“Antara pesakit yang meninggal dunia di hospital, 10 mati akibat masalah kekurangan bekalan untuk pemindahan darah, manakala 17 yang lain disebabkan oleh komplikasi pernafasan,” jelas Kamba.

Seorang pegawai tempatan, Apollinaire Yumba mengeluarkan amaran dengan menggesa orang ramai untuk mengelak daripada menyentuh mayat pesakit kerana risiko dijangkiti.

Yumba turut membuat rayuan terdesak untuk bekalan perubatan dan bantuan antarabangsa bagi menangani krisis kesihatan yang berlaku.

Penyakit misteri itu menimbulkan kebimbangan mengenai kemunculan patogen baharu yang berpotensi merebak ke seluruh dunia, beberapa tahun selepas pandemik Covid-19 memaksa negara-negara dunia menutup sempadan dan membantutkan aktiviti ekonomi serta sosial.

Awal Ogos lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak mpox sebagai darurat kesihatan awam global.

Selepas pengisytiharan darurat global pada 2022, mpox menjangkiti hampir 100,000 orang serta membunuh kira-kira 200 pesakit. – AGENSI