Hafizh idam gelaran ARRC 2024

Sukan

PETALING JAYA: Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah menaruh harapan besar untuk menamatkan kempen Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 sebagai juara dalam kategori kelas ASB1000.

Selepas lima pusingan perlumbaan ARRC 2024, Hafizh kini menduduki tangga ketiga dengan kutipan 137 mata secara keseluruhan dan hanya dipisahkan lima mata dengan pendahulu dari Jepun, Yuki Kunii.

Meskipun sedar berdepan cabaran sukar pada pusingan terakhir di Buriram, Thailand hari ini, bekas pelumba MotoGP itu percaya itu bukan penghalang untuk beliau dinobatkan sebagai juara kelas elit berkenaan.

“Saya siap sedia untuk bertarung di Buriram. Persiapan telah dibuat sepanjang dua bulan selepas pusingan terakhir sebelum ini sudah cukup baik termasuk dari sudut fizikal dan mental.

Pada aksi pembukaan musim di Buriram Mac lalu, pelumba berusia 30 tahun itu dilanda kekecewaan selepas berdepan masalah teknikal membabitkan jentera sebelum bangkit menamatkan perlumbaan sebagai naib juara di Perlumbaan 2.

Sementara itu, pelumba kelahiran Selangor berkenaan mengakui pengalamannya menunggang di MotoGP dan WorldSBK menjadi azimatnya pada kejuaraan Asia musim ini.

Bagaimanapun, beliau turut mengakui bahawa setiap perlumbaan mempunyai cabaran yang berbeza.

“Walaupun saya ada pengalaman sebagai pelumba MotoGP dan WorldSBK, namun apabila kita tiba di kejuaraan baharu, anda perlu belajar sesuatu.

“Di ARRC ini turut dibarisi oleh pelumba dari kejuaraan dunia dan ini membuatkan perlumbaan ini menjadi amat kompetitif.

“Pasukan juga berusaha untuk menyediakan jentera terbaik untuk saya. Kami juga mempunyai beberapa orang (krew Ducati) untuk membantu pada perlumbaan kali ini,” kata Hafizh.-UTUSAN