Jangan pinggirkan pendidikan inklusif – Utusan Malaysia

Pendidikan

Pernah berlaku sekitar tahun 2012, syarikat kereta api Jepun mengumumkan menutup beberapa stesen kereta api kecil di Pulau Hokaido kerana bilangan penumpang semakin berkurang. Salah satunya, stesen kedesaan Kami-Shirataki yang berada di pertengahan laluan antara pekan Kyu dan Shirataki. Selepas pengumuman, timbul berita terdapat seorang murid di Hokaido Engaru High School bernama Kana Harada yang sentiasa menggunakan kemudahan kereta api di stesen itu untuk ke sekolah.

Apabila pengurusan kereta api Jepun mendengar berita tersebut, mereka menangguhkan penutupan stesen Kami-Shirataki bagi memastikan Kana Harada terus menggunakan kereta api untuk ke sekolah. Malah pihak pengurusan juga mengubahsuai jadual perjalanan supaya kereta api tiba di stesen Kami Shirataki sesuai dengan waktu persekolahan Kana Harada.
Stesen kereta api Kami Shitakitersu ini terus beroperasi walaupun tidak ramai penumpang sehingga ditutup pada 2016 apabila Kana Harada tamat sekolah.

Kisah ini tentunya memberi kesan yang besar kepada kita. Bagaimana masyarakat di Jepun begitu memberikan nilai yang tinggi kepada kepentingan pendidikan. Di negara kita, ada juga kisah menarik seperti ini. Pada Januari 2016, pihak pengurusan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Aik Hua di Pulau Pasir Hitam Perak mengambil keputusan menutup sekolah tersebut kerana tiada lagi murid baru yang mendaftar di sekolah itu.

Bagaimanapun di saat akhir, muncul seorang murid bernama Oon Sheng Juin, berumur tujuh tahun yang baru berpindah ke kampung tersebut. Pihak pengurusan sekolah itu menangguhkan penutupan sekolah dan adik Oon Sheng Juin ialah satu-satunya murid yang belajar di sekolah berkenaan ketika itu.

Kisah-kisah sebegini memberikan inspirasi kepada kita tentang pentingnya pendidikan bersifat inklusif. Pendidikan inklusif pada peringkat paling asas bermaksud menyediakan hak mendapatkan pendidikan kepada semua kanak-kanak tanpa mengira latar belakang mereka, termasuk anak-anak bukan warganegara sekalipun. Deklarasi Hak Pendidikan Untuk Semua Kanak-Kanak oleh Bangsa-bangsa Bersatu diwujudkan pada 1948 bagi memastikan kanak-kanak di seluruh dunia berpeluang mendapat hak dan peluang pendidikan masing-masing.

Pendidikan inklusif menurut pakar pendidikan awal kanak-kanak, Professor Linda Graham di dalam bukunya ‘Inclusive Education for the 21st Century’ merujuk kepada usaha memastikan semua anak mendapat peluang pendidikan tanpa membezakan latar belakang.

Konsep pendidikan yang inklusif tidak hanya terhad kepada memberikan pendidikan kepada kanak-kanak berkeperluan khas, kanak-kanak lemah pembelajaran atau kanak-kanak kurang upaya sahaja tetapi juga mencakupi usaha menyediakan pendidikan untuk murid-murid miskin tegar, murid di pedalaman dan kumpulan murid yang   berisiko tinggi akan keciciran pendidikan jika tidak diberikan bantuan.

Pendidikan inklusif menegaskan tentang perlunya setiap kanak-kanak mendapat peluang pendidikan secara adil, setara dan berkualiti. Tidak boleh ada kanak-kanak dibiarkan terabai.
Kisah lebih 5,000 calon SPM 2024 yang berdepan masalah menduduki peperiksaan lisan kemahiran bertutur bahasa Melayu SPM akibat banjir khususnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah boleh dijadikan pengajaran untuk lebih memahami konsep amalan pendidikan inklusif.

Secara prinsipnya, apabila kita melaksanakan peperiksaan, lebih-lebih lagi peperiksaan berpusat, adalah sangat penting ‘kesetaraan akses’ dipelihara dan tidak boleh wujud jurang yang terlalu besar dari segi kesetaraannya. Kesetaraan dalam peperiksaan bukan hanya mencakupi kesetaraan silibus, bentuk dan aras soalan dan skema jawapan tetapi juga mestilah dipastikan kesetaraan dari segi pelaksanaan peperiksaan itu sendiri merangkumi keadaan fizikal, psikologi dan emosi calon. Misalnya, sesuatu peperiksaan termasuk juga lisan tidak lagi bersifat setara apabila calon terpaksa berada dalam persekitaran yang tidak selesa, tidak stabil atau terganggu fokus mereka untuk menduduki peperiksaan tersebut.

Di sinilah pentingnya satu jawatankuasa pakar pengukuran dan penilaian pendidikan yang bebas dilantik kerajaan untuk mengenalpasti adakah calon yang akan menduduki peperiksaan lisan kemahiran bertutur bahasa Melayu SPM layak untuk mendudukinya di dalam menghadapi banjir. Perakuan daripada jawatankuasa bebas ini akan menjadikan prinsip kesetaraan peperiksaan tersebut dipenuhi.

Malangnya, itu tidak berlaku di dalam kes calon SPM 2024 yang menduduki peperiksaan lisan pada minggu lalu. Kita tidak mendengar adanya jawatankuasa bebas untuk memberikan perakuan tahap keupayaan calon untuk menduduki peperiksan itu. Di sinilah prinsip pendidikan inklusif gagal dilaksanakan secara berkesan. Apakah kita mengambil keputusan mengekalkan peperiksaan lisan itu setelah benar-benar mengambilkira tekanan emosi, mental dan fizikal lebih 5,000 calon SPM yang menduduki peperiksaan lisan minggu lalu? Apakah ada laporan jawatankuasa pakar bebas yang memperakukan semua calon SPM yang terlibat dengan bencana banjir ini berada dalam keadaan yang benar-benar stabil, fokus dan tenang untuk menduduki peperiksaan lisan, setara dengan calon-calon SPM lain?

Jika emosi, mental atau fizikal mereka tidak stabil, tidakkah ini jelas melanggar prinsip kesetaraan peperiksaan dan menggugat kesahan dan ketekalan peperiksaan tersebut?
Mungkin ada pihak memandang remeh tentang isu peperiksaan ini, kononnya ini tidak sepenting peperiksaan bertulis SPM. Jadi, janganlah dijadikan isu tentang pelaksanaan peperiksaan itu. Ada juga yang berpandangan berbeza. Terserahlah pada pandangan masing-masing.

Cuma daripada prinsip asas pentaksiran berpusat yang sangat mementingkan prinsip kesetaraan pentaksiran, isu ini sangat kritikal dan jika tidak diuruskan dengan baik, pengabaian ini boleh menyebabkan keputusan peperiksaan itu dikategorikan tidak sah atau terbatal.

Tentu sahaja jika ada calon yang menduduki peperiksaan tetapi secara fizikal, mental dan emosi mereka tidak setara kestabilannya berbanding calon lain, maka peperiksaan setara itu sebenarnya tidak mencapai tahap kesahan dan ketekalan yang tinggi. Bahasa mudahnya, peperiksaan itu tidak adil dilaksanakan dan kualitinya tentulah rendah kerana sifatnya tidak setara dan tidak inklusif pada calon yang terlibat.

Dr. Anuar Ahmad ialah Felo Bersekutu, Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, MINDA UKM