KOTA BHARU: Jawatan Perdana Menteri tidak sepatutnya dijadikan sebagai bahan ‘sogokan’ kepada mana-mana parti untuk menarik sokongan kepada pembangkang.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, sepatutnya jawatan terpenting negara itu ditawarkan kepada seseorang individu yang mempunyai visi untuk membawa perubahan atau mempunyai dasar-dasar lebih baik.
Beliau berkata, sekiranya jawatan tersebut ditawarkan kepada seseorang yang mempunyai wawasan lebih menarik, maka Amanah juga mungkin turut memberi sokongan.
“Kalau ditawarkan jawatan Perdana Menteri itu semata-mata kerana mahu seseorang individu atau sebuah parti tertentu meninggalkan gabungan politik sedia ada dan membentuk kerajaan bersama mereka, maka ia amat mendukacitakan.
“Apatah lagi jika ia dilakukan olej mereka sendiri yang tidak mempunyai hala tuju, maka kita nampak ia adalah satu pendekatan sogokan politik,” katanya semasa melaporkan diri sebagai pengerusi baharu Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di ibu pejabat agensi itu, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, usaha memulihkan kredibitili Amanah sebagai sebuah parti politik di Kelantan dibuat sebaik mungkin tetapi perlu menerima hakikat bahawa ia merupakan sebuah parti yang masih baharu.
“Amanah baru berusia lapan tahun tetapi bersaing dengan parti-parti politik yang telah berusia lebih 60 tahun seperti Pas dan UMNO. Bukan mudah tetapi kita cuba bukan ruang dengan wawasan politik yang ada pada parti ini.
“Amanah mungkin dipandang lesu tetapi hakikatnya kita bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Persekutuan. Insya-Allah jika kita buat kerja di semua peringkat bermula sekarang, menuju pilihan raya umum akan datang kita mampu pecah masuk Kelantan dengan lebih berkesan,” ujarnya. – UTUSAN