KPM beri sokongan psikososial, kurangkan trauma jangka panjang

Pendidikan

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan akan memberikan sokongan psikososial bagi mengesan tanda awal gangguan psikologi akibat bencana dan melaksanakan pemulihan bagi mengurangkan kesan trauma jangka panjang di samping murid dan warga pendidikan dapat kembali menjalani pembelajaran dengan lebih stabil dan kondusif.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tumpuan berkenaan melibatkan langkah menyeluruh bukan sahaja merangkumi operasi pusat pemindahan sementara (PPS), tetapi juga sokongan psikososial dan emosi kepada mangsa bencana.

“Fokus Kementerian sewaktu bencana tidak hanya terbatas kepada kelancaran pengoperasian PPS dan peperiksaan semata-mata. 

“Sebaliknya, ia turut merangkumi elemen kesejahteraan psikologi dan sosial. Kekuatan ini bukan baharu, ia telah sedia dibangunkan KPM sejak sekian lama dan pastinya akan terus diperkukuhkan dari masa ke semasa. 

“Kaunselor akan digerakkan untuk membantu dari aspek sokongan psikososial. Ia bertujuan memulihkan emosi mangsa dan keluarga yang terjejas.

“Sokongan psikososial ini adalah untuk menyediakan intervensi bagi mengesan tanda-tanda awal gangguan psikologi dan memberikan bantuan segera, melaksanakan pemulihan serta mengurangkan kesan jangka panjang termasuk trauma akibat bencana.

“Ini adalah penting bagi memastikan warga pendidikan yang terjejas dapat meneruskan kehidupan dan pembelajaran dalam suasana yang kondusif selepas bencana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pelaksanaan inisiatif Pasukan Sokongan Pintar (SST) untuk memberi sokongan psikososial dan emosi serta  Pasukan Sokongan Akademi (AST) bagi membantu murid meneruskan pembelajaran sewaktu di PPS.

Sehingga kini, seramai 1,580 orang jurulatih SST dan AST yang berpengalaman telah digerakkan untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Selain itu, sejumlah 310 orang kaunselor terlatih turut ditugaskan untuk membantu calon peperiksaan SPM yang terjejas banjir.

Tambah Fadhlina, KPM akan menggunakan modul bersesuaian bagi memastikan usaha pembugaran emosi mangsa terjejas mencapai objektifnya. 

“Antara aktiviti yang dilaksanakan pada waktu ini bagi membantu mangsa terjejas termasuk kaunseling bimbingan individu dan berkelompok, terapi seni, permainan, sesi bercerita, tayangan video serta motivasi,” katanya. – UTUSAN