PETALING JAYA: Badang negara, Mohamad Aniq Kasdan, mencipta sensasi apabila meraih dua pingat perak di Kejohanan Dunia Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) di Manama, Bahrain, awal pagi tadi.
Dalam saingan kategori B lelaki 61 kilogram (kg), atlet berusia 22 tahun itu mencatatkan jumlah angkatan keseluruhan 296kg, sekali gus memastikan kedudukannya di podium untuk kedua kalinya.
Terdahulu, Aniq mempamerkan aksi luar biasa dalam acara clean and jerk dengan mencatat rekod terbaik 166kg untuk merangkul perak, meskipun hanya di tempat keempat dalam acara snatch.
Saingan dikuasai oleh atlet Korea Utara, Park Myong-jin, yang menyapu bersih tiga pingat emas dengan jumlah angkatan 305kg.
Pingat gangsa menjadi milik atlet China, Wei Haixian bagi acara clean and jerk dengan angkatan seberat 160kg manakala tempat ketiga bagi keseluruhan di raih oleh wakil Vietnam Tran Anh Tuan dengan catatan 291kg. – UTUSAN