Kos kerosakan sekolah terlibat banjir sedang dikenal pasti

Sains

BUKIT MERTAJAM : Kementerian Pendidikan sedang mengenal pasti kos kerosakan sekolah-sekolah yang terlibat dalam gelombang pertama banjir yang berlaku di sembilan negeri baru-baru ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pada masa yang sama, pihaknya turut membuat persiapan untuk berdepan dengan segala kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir terutamanya di kawasan berisiko tinggi.

“Gelombang pertama kita dah ada bilangannya cuma ia sedang dikenal pasti dari segi unjuran kos kerosakan yang terlibat.

“Selain itu, kita juga sedang membuat persiapan untuk menghadapi kemungkinan lain,” katanya kepada pemberita selepas menyertai program Khazanah Reformasi Walk di Seberang Jaya, di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Kementerian Kewangan akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi menyalurkan bantuan segera untuk membaik pulih sekolah yang terjejas susulan banjir.

Katanya, langkah itu bagi membolehkan sekolah yang dilanda bencana tersebut dapat kembali beroperasi secepat mungkin.

Dalam pada itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, pihaknya telah mengaktifkan Ops Payung bagi memastikan ujian amali Sains Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal berlangsung lancar.

“Esok (Isnin), Selasa dan Khamis ada Ujian Amali Sains dan diikuti Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (16 hingga 19 Dis) dan saya berpuas hati semua persiapan dalam keadaan yang sangat baik,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran bahawa akan berlaku hujan berterusan sehingga Rabu ini di tujuh negeri membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Perak dan Johor yang berkemungkinan mengakibatkan gelombang kedua banjir. – UTUSAN