Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan mengingatkan ahli politik dan golongan cendekiawan agama di negara ini supaya menjauhi fitnah.
Dia berkata demikian sebagai mengulas kes membabitkan Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad yang diarahkan membayar RM750,000 kepada veteran DAP serta dua ahli parlimen parti itu selepas kalah dalam saman fitnah.
“Kebijaksanaan ahli politik bukan sahaja terletak kepada sijil kelulusan yang tinggi sahaja malah ia juga harus diukur dari segi tutur kata sopan serta adab dan akhlak sesama manusia.
“Kami merakamkan duka cita atas isu yang berlaku dalam negara ketika ini dan seharusnya budaya menfitnah ini perlu dihentikan segera demi menjaga nama baik ahli politik mahupun nama agama Islam itu sendiri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam keputusan dibuat di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang minggu lalu, hakim Quay Chew Soon mengarahkan Mastura membayar RM300,000 kepada Lim Kit Siang, RM250,000 lagi kepada Lim Guan Eng dan RM200,000 kepada Teresa Kok.
Pada 29 Nov 2023 Malaysiakini melaporkan ketiga-tiga mereka memulakan proses saman fitnah ke atas Siti Mastura berhubung dakwaan dibuat ahli politik PAS terbabit.
Sebelum itu Siti Mastura mendakwa Kit Siang, Guan Eng, dan Kok mempunyai pertalian keluarga dengan Chin Peng serta bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew.
Aminolhuda turut menempelak tindakan sesetengah pemimpin yang memberi pandangan berdasarkan emosi mengakibatkan setiap kata-kata mereka menjadi suatu fitnah.
Justeru dia menasihatkan mereka agar berpolitik secara matang dan bukan menanam kebencian di kalangan pengikut.
“Sekiranya terdapat kekhilafan dalam sesuatu perkara segeralah memohon maaf bukan sibuk menegakkan benang yang basah yang akhirnya memalukan diri sendiri.
“Selain itu, jangan timbulkan kesangsian rakyat terhadap ketelusan dan kebaikan pemimpin khususnya wakil rakyat mahupun ahli politik di negara ini oleh kerana segelintir dari kita yang kurang beretika,” katanya.