JAGUH angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan terus mempamerkan aksi cemerlang apabila merangkul dua pingat perak menerusi acara keseluruhan dan clean & jerk bagi kategori 61 kilogram (kg) pada Kejohanan Angkat Berat Dunia 2024.
Pada aksi final di Manama, Bahrain awal pagi tadi, atlet berusia 22 tahun itu mengangkat 166kg dalam clean & jerk sebelum menamatkan saingan dengan angkatan keseluruhan 296kg.
Dalam acara snatch, pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu berada di kedudukan keempat terbaik dengan angkatan 130kg yang menyebabkan dia terlepas untuk membawa pulang gangsa.
“Alhamdulillah rezeki di bumi Bahrain,” kata Aniq yang merupakan pemegang rekod kebangsaan dalam acara 61kg selepas melakukan angkatan keseluruhan 297kg pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Sementara itu, pingat emas clean & jerk dan keseluruhan menjadi milik atlet Korea Utara, Pak Myong Jin yang melakukan angkatan 173kg serta 305kg.
Pingat gangsa keseluruhan bagi kategori 61 kg menjadi milik Nguyen Tran Anh dari Vietnam dengan angkatan keseluruhan 291kg selain perak acara snatch menerusi catatan 131kg.
Sebagai rekod, ini adalah kali ketiga Aniq memenangi pingat pada Kejohanan Dunia selepas turut meraih perak clean & jerk dalam kategori 55kg pada edisi 2021 di Uzbekistan serta gangsa clean & jerk 61kg di Arab Saudi tahun lalu.
Pingat perak itu pastinya menjadi pembakar semangat buatnya menjelang saingan musim depan yang dijangka lebih sukar termasuk Sukan SEA Bangkok 2025 berlangsung 9 hingga 20 Disember tahun depan.