Usaha XBJ cungkil bakat muda wajar dipuji

Sukan

KUALA LUMPUR – Sukan hoki negara sedang mengorak langkah positif untuk mengembalikan kegemilangannya menerusi pelbagai inisiatif pencarian bakat baharu di peringkat akar umbi dengan penglibatan aktif bekas pemain dan sokongan padu daripada kelab hoki tempatan.

Bekas penyerang kebangsaan, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Jalil menegaskan, program pencarian bakat dianjurkan kelab seperti XBJHC merupakan platform penting untuk mengangkat pemain muda yang berpotensi ke satu tahap baharu.

TENGKU Tajudin (kiri) memberikan arahan kepada seorang peserta pada program XBJ di Stadium Hoki Tun Razak semalam.

“Kita cuba mencari bakat-bakat yang terpencil dan terpendam di seluruh negara. Program seperti ini adalah peluang untuk pemain-pemain yang tercicir membuktikan bakat mereka,” katanya pada program dianjurkan di Stadium Hoki Tun Razak kelmarin.

Penyerang yang mesra dengan gelaran Zidane itu percaya usaha tersebut mampu membantu hoki Malaysia kembali menguasai pentas antarabangsa selain menyeru agar lebih banyak pihak mengambil inisiatif sama untuk menyemarakkan lagi pembangunan hoki di seluruh negara.

SEBAHAGIAN peserta mengambil bahagian bersama pihak penganjur yang mengadakan program di peringkat akar umbi bertempat di Stadium Hoki Tun Razak semalam.

Ketua jurulatih XBJHC, Mohd. Firdaus Razali turut berkongsi tentang kejayaan program latihan kelab berkenaan yang menyaksikan peningkatan mendadak dalam penyertaan sejak setahun kebelakangan ini.

“Tahun lalu kita hanya ada 30 peserta. Tapi tahun ini kita berjaya memperkenalkan kategori bawah 10, 12 dan 15 tahun untuk lelaki dan perempuan. Ini perkembangan sangat positif untuk melahirkan generasi baharu pemain hoki berkualiti,” katanya.

ARTIS dan bekas pemain kebangsaan turut hadir memeriahkan program hoki peringkat akar umbi anjuran XBJ di Stadium Hoki Tun Razak semalam.

Program latihan itu bukan sahaja fokus pada pembangunan bakat muda, malah menyediakan platform untuk pemain bersaing secara kompetitif di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Dalam masa sama, Firdaus turut menjelaskan program dianjurkan itu juga menjadi peluang untuk mencungkil pemain berpotensi diserapkan ke sekolah sukan serta program-program pembangunan hoki kebangsaan. – KOSMO! ONLINE