Kemboja ikat Harimau Malaya 2-2

Sukan

PETALING JAYA: Harimau Malaya sekadar seri 2-2 dengan Kemboja dalam aksi pembukaan Piala ASEAN 2024 di Stadium Olimpik, Phnom Penh, sebentar tadi.

Dalam aksi pertama Kumpulan A itu, anak-anak buah Pau Marti Vicente terlebih dahulu berada di hadapan menerusi tandukan menarik Stuart Wilkin pada minit ke-35.

Keputusan 1-0 kekal sehingga berakhir separuh masa pertama dan bersambung babak kedua segalanya berubah apabila Kemboja mendapat dua gol pantas untuk tuan rumah mendahului 2-1.

Gol pertama Kemboja terhasil pada minit ke-52 menerusi Coulibaly Abdel Kader yang memanfaatkan kesilapan pertahanan negara, Jimmy Raymond yang gagal menampan kemas bola.

Gol itu bagaikan mencetuskan semangat Kemboja apabila lapan minit kemudian mereka meraih gol kedua menerusi Ty Sa untuk menggegarkan Stadium Olimpik, Phnom Penh.

Tersentak dengan jaringan itu, Pau Marti melakukan pertukaran dengan membawa masuk Fergus Tierney, Sergio Aguero dan Adib Raop untuk menajamkan lagi jentera hadapan.

Percaturan itu berhasil apabila Tierney meledak gol penyamaan pada minit ke-73 menerusi rembatan leret daripada luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Kemboja, Dara Viraek.

Kedudukan 2-2 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan untuk Harimau Malaya pulang ke tanah air dengan satu mata.

Perlawanan kedua Harimau Malaya adalah pada 11 Disember ini menentang Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).- UTUSAN