KUALA TERENGGANU: Isu kewujudan perintah tambahan tahanan rumah yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16 bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah tidak boleh dibiarkan menjadi polemik yang berpanjangan.
Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Dr. Ahmad Razif Abd Rahman berkata, polimik tersebut perlu segera dimuktamadkan secara bertanggungjawab untuk mengelakkan bekas Presiden UMNO itu menjadi mangsa keadaan.
Menurutnya, dalam hal ini, UMNO sebagai parti tunjang dalam BN perlu lebih tegas dan realistik menggunakan saluran yang ada bagi tujuan pembelaan terhadap Najib.
Katanya, parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan juga mesti bersikap terbuka dan berterus-terang dalam isu tersebut serta tidak mengambil langkah menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan rakyat.
“Apa yang penting, jika titah tambahan itu benar-benar wujud, hak Najib mestilah segera dikembalikan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Ahmad Razif yang juga bekas Menteri Besar Terengganu menambah, afidavit terbaharu, Datuk Nizar Najib yang juga anak bekas Perdana itu bahawa titah tambahan itu sememangnya benar-benar wujud telah menjadi pengetahuan umum yang tidak boleh dipandang mudah.
Sehubungan itu, katanya, kenyataan tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA, Datuk Seri Dr, Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan adalah tepat pada masanya.
Malah, jelasnya, pendirian itu ditegaskan pemimpin tersebut pada sambutan ulang tahun BN Ke-50 di ibu negara, semalam.
“Saya sependapat dengan kenyataan bahawa intergriti BN sedang diperhatikan dan sesuatu perlu dilakukan bagi memperjuangkan hak dan keadilan untuk Najib.
“Sebagai sebuah parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan, usaha itu sepatutnya menjadi lebih mudah.
“Keadaan itu jika tidak ditangani dengan lebih cermat, ia dikhuatiri akan menghakis kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan,” ujarnya. – UTUSAN