Arif Aiman ledak hatrik bantu JDT benam KL City 3-0

Sukan

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) menundukkan The City Boys 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Pemain paling berharga musim lalu, Arif Aiman Hanapi muncul wira apabila meledak hatrik pada babak pertama perlawanan, sekali gus memastikan Harimau Selatan semakin gah di puncak liga dengan mengutip 43 mata daripada 15 perlawanan, mengekalkan rekod tanpa kalah.

Skuad kendalian Hector Bidoglio bermula garang dengan melancarkan serangan ke kubu Kuala Lumpur City sebaik sahaja sepak mula dan hampir menjelmakan jaringan pada minit kelima menerusi percubaan Romel Morales, namun berjaya diselamatkan penjaga gol lawan.

JDT tidak menunggu lama untuk memecahkan kebuntuan apabila Arif Aiman menjaringkan gol pertama menerusi rembatan jarak jauh menewaskan penjaga, Azri Ab. Ghani pada minit ke-12.

Pada minit ke-16, berpunca daripada sepakan sudut, Feroz Baharudin menanduk bola ke belakang, namun Morales sedikit lambat bertindak untuk menyumbat bola ke dalam gawang lawan.

PEMAIN pertahanan JDT, Feroz Baharudin terjatuh ketika menanduk bola walaupun dihadang Kapten Kuala Lumpur City FC, Giancarlo Gallifuoco pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Feroz turut berpeluang menguji kecekapan dengan melakukan percubaan tepat ke pintu gol pada minit ke-23, namun rembatan itu ditangkap kemas Azri.

Azri turut bertindak cemerlang menafikan percubaan penyerang sensasi, Bergson Da Silva yang melakukan percubaan pada minit ke-34, namun sekali lagi tewas kepada Arif Aiman yang melakukan rembatan deras dari luar kotak bagi menambah jaringan peribadinya pada minit ke-36.

Skuad kendalian Miroslav Kuljanac terus dirundung malang apabila pengadil perlawanan, Fitri Maskon menghadiahkan sepakan penalti setelah semakan bantuan video pengadilan (VAR) mendapati bola terkena tangan Brendan Gan.

Arif Aiman menggunakan peluang itu untuk melengkapkan hatrik dan pemain sayap itu tidak berdepan tugas sukar meletakkan bola ke dalam gawang KL City pada minit ke-42.

Bersambung babak kedua, Harimau Selatan terus buas melancarkan serangan menerusi Bergson dan Heberty Fernandes, namun aksi yang dipamerkan duo Brazil itu tampak tidak menjadi malam ini.

KL City yang belum mahu menyerah kalah turut melancarkan serangan balas pada minit ke-61 menerusi Patrick Reichelt yang melepasi perangkap ofsaid, namun Ahmad Syihan Hazmi Mohamed bertindak pantas menutup ruang bagi penyerang itu.

Jorge Obregon yang dibawa masuk menggantikan Arif Aiman hampir mencipta gol, malangnya tandukan jarak dekat dilakukan terkena badan penjaga gol.

Hasrat pasukan tuan rumah untuk menambah jaringan tidak kesampaian apabila tiada gol dihasilkan pada babak kedua. – UTUSAN