Norris bawa Mclaren juarai F1 selepas 25 tahun

Sukan

ABU DHABI: Lando Norris mengakhiri musim Formula Satu (F1) dengan cemerlang apabila memenangi Grand Prix (GP) Abu Dhabi malam tadi, sekaligus menghadiahkan McLaren kejuaraan pengeluar pertama sejak 1998 selepas insiden melibatkan rakan sepasukannya, Oscar Piastri.

Piastri bertembung dengan juara dunia Max Verstappen pada pusingan pertama, menyebabkan harapan pasukan bergantung sepenuhnya kepada Norris, yang menamatkan perlumbaan di tempat pertama.

Carlos Sainz dan Charles Leclerc dari Ferrari pula masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga, tetapi gagal menyekat keunggulan McLaren untuk merangkul kejuaraan musim ini.

“Semua ini milik anda. Terima kasih banyak. Ia adalah tahun yang luar biasa,” ujar Norris melalui radio pasukan selepas menamatkan perlumbaan sambil menyuarakan tekad untuk merangkul gelaran kejuaraan pemandu tahun depan.

Lewis Hamilton yang menyertai Ferrari musim depan, menamatkan perlumbaan di tempat keempat dalam penampilan terakhirnya bersama Mercedes selepas memintas rakan sepasukan, George Russell, pada pusingan terakhir.

Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff, memuji Hamilton dengan menyatakan, “Lewis, itu adalah pemanduan seorang juara dunia.”

Verstappen, yang telah meraih gelaran juara dunia keempatnya di Las Vegas bulan lalu, hanya menduduki tempat keenam selepas dikenakan penalti 10 saat akibat insiden dengan Piastri.

McLaren menutup musim dengan 666 mata, mendahului Ferrari yang mengumpul 652 mata, manakala Red Bull di tempat ketiga dengan 589 mata. – AGENSI