Pentadbiran negeri Sabah yang diterajui GRS wajar dibenarkan berfungsi seperti biasa sementara pihak berkuasa menyiasat dakwaan rasuah terhadap pemimpinnya, menurut bahagian PKR negeri.
Ketua Penerangan PKR Sabah Razeef Rakimin dilaporkan berkata kestabilan politik adalah kritikal untuk pertumbuhan ekonomi negeri.
“Sekiranya ada sebarang pelanggaran undang-undang maka mereka yang bersalah mesti dibawa ke muka pengadilan.
“Kerajaan Madani yang tegas dalam membenteras barah rasuah tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat. Pihak berkuasa dan Institusi mahkamah bebas melaksanakan siasatan dan pengadilan sewajarnya.
“Oleh itu biarlah kerajaan negeri berfungsi seperti biasa agar perancangan dan perlaksanaan projek-projek serta aktiviti-aktiviti dalam menjaga kebajikan rakyat dapat berjalan lancar,” katanya, dalam satu kenyataan semalam.
Kenyataan Razeef itu susulan tekanan terhadap Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor untuk berundur susulan skandal rasuah yang melanda pentadbirannya.
Antara yang mendesak Hajiji meletakkan jawatan ialah pemimpin Umno Sabah, termasuk bendahari Pemuda Umno negeri Mohd Naim Kurniawan Moktar yang mencadangkan Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan dilantik sebagai ketua menteri sementara untuk menerajui negeri itu.
Bagaimanapun, Jeffrey, yang juga presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), menyelar cadangan itu dengan mengatakan bahawa belum ada sesiapa yang dihadapkan ke mahkamah – tidak seperti beberapa pemimpin Umno.
Skandal rasuah timbul bulan lalu, dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Mineral Management (SMM) Sdn Bhd Jontih Enggihon menuduh Hajiji menyalahgunakan kuasanya sebagai pengerusi SMM.
Dalam video yang dirakam pada 1 Okt, Jontih mendakwa Hajiji mengganggu proses pemilihan mencari lesen untuk memihak kepada kontraktor tertentu.
Video itu adalah salah satu daripada beberapa yang dikeluarkan oleh pemberi maklumat, membabitkan ahli parlimen Sabah dalam beberapa siri dakwaan rasuah.
Hajiji bagaimanapun menafikan dakwaan rasuah itu, menyifatkannya sebagai cubaan untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri dan mencemarkan nama baiknya.