Pemain sayap Portugal umum persaraan

Sukan

LONDON: Bekas sayap Portugal dan Manchester United, Nani, mengumumkan persaraannya semalam pada usia 38 tahun.

Nani menyertai United pada 2007 dan membuat 230 penampilan untuk kelab itu, menjaringkan 41 gol.

Dia membantu United untuk memenangi Liga Juara-Juara pada musim pertamanya dan menjuarai empat gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan dua Piala Liga dalam lapan musim.

“Masanya telah tiba untuk mengucapkan selamat tinggal, saya telah memutuskan untuk mengakhiri kerjaya saya sebagai pemain profesional.

“Ini adalah perjalanan yang luar biasa dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap orang yang telah membantu dan menyokong saya melalui waktu suka dan duka sepanjang kerjaya yang berlangsung lebih dari 20 tahun ini dan memberi saya begitu banyak kenangan yang tidak dapat dilupakan.

“Masa untuk membuka lembaran baru dan memberi tumpuan kepada matlamat dan impian baru. Jumpa lagi!,” tulis Nani di media sosial.

Nani, yang telah bermain di liga utama Portugal musim ini untuk kelab kampung halamannya, Estrela Amadora, turun beraksi pada perlawanan terakhirnya menentang bekas kelabnya, Sporting Lisbon pada bulan lepas.

Sepanjang bergelar pemain Nani juga pernah beraksi untuk Valencia, Lazio, Orlando City, Venezia, Melbourne Victory dan Adana Demirspor.

Nani telah menjaringkan 24 gol dalam 112 penampilan untuk Portugal, memenangi Kejohanan Eropah (Euro) pada 2016. – AGENSI