Pelabur asing jual ekuiti tempatan RM761.4j minggu lalu

Kesihatan

PETALING JAYA: Pelabur asing terus menjual ekuiti di Bursa Malaysia untuk minggu ketujuh berturut-turut, dengan aliran keluar berjumlah RM761.4 juta minggu lalu, membawa kepada aliran keluar seminggu kedua tertinggi dalam tempoh lima minggu lepas, kata MIDF Amanah Investment Bank Berhad.

Bank pelaburan berkata, setiap hari dagangan mengalami aliran keluar asing bersih dengan aliran keluar terbesar berlaku pada hari Isnin pada RM248.8 juta.

Katanya, ini diikuti dengan Selasa pada RM218.6m, Jumaat (RM143.9 juta), Khamis (RM121.6 juta) dan Rabu (RM28.5 juta).

“Tiga sektor teratas yang menyaksikan aktiviti belian bersih oleh pelabur asing ialah penjagaan kesihatan (RM238.0 juta), perladangan (RM93.1 juta) dan produk dan perkhidmatan perindustrian (RM72.8 juta).

“Tiga sektor teratas yang menyaksikan aktiviti jualan bersih oleh pelabur asing ialah perkhidmatan kewangan (RM594.1 juta), utiliti (RM475.9 juta) dan pengangkutan dan logistik (RM53.8 juta),” katanya dalam Laporan Aliran Dana minggu berakir 6 Disember 2024 hari ini.

MIDF berkata, institusi tempatan sekali lagi menjadi penyokong utama bursa tempatan, mencatatkan aliran masuk RM1.06 bilion.

Menurutnya, tiada aliran keluar sepanjang minggu daripada kelas pelabur ini, dengan Isnin dan Selasa menyaksikan aliran masuk tertinggi masing-masing pada RM245.6 juta dan RM284.1 juta.

“Peruncit tempatan kekal sebagai penjual bersih minggu lepas, dengan aliran keluar berjumlah RM299.9 juta, hampir 30 kali lebih daripada aliran keluar minggu sebelumnya.

“Setiap hari menyaksikan aliran keluar daripada kumpulan pelabur ini, kecuali Isnin yang mencatatkan aliran masuk RM3.2 juta. Aliran keluar paling banyak dicatatkan pada Rabu, berjumlah RM125.7 juta,” ujarnya.

Tambahnya, purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan pengurangan merentas semua kategori pelabur kecuali pelabur runcit tempatan.

“Pelabur asing dan pelabur institusi tempatan masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 25.7 peratus dan 6.6 peratus, manakala pelabur runcit tempatan menyaksikan peningkatan sebanyak 8.9 peratus,” jelasnya.-UTUSAN