Sektor perbankan dipercayai catat keputusan positif pada 2025

Perniagaan

PETALING JAYA: Sektor perbankan dijangka catat keputusan positif dan margin faedah bersih (NIM) bertambah baik pada 2025 selepas sebahagian besar keputusan suku ketiga 2024 mencapai jangkaan. 

Hong Leong Investment Bank Bank (HLIB) berkata, lima daripada lapan bank di bawah liputannya berjaya mencapai keuntungann selaras dengan jangkaan.

“Pertumbuhan hasil yang teguh bersama-sama dengan elaun yang lebih rendah untuk pinjaman lapuk membantu pendapatan sektor meningkat 11 peratus tahun ke tahun.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan NIM yang lebih lemah pada suku keempat memandangkan persaingan deposit tetap yang biasanya semakin meningkat bagi tempoh antara Oktober hingga Disember,” katanya dalam satu nota penyelidikan. 

HLIB berkata, perlindungan terhadap kerugian pinjaman untuk bank terus meningkat dan kekal di atas paras sebelum sekatan. 

Jelasnya, hal ini adalah hasil daripada peruntukan awal yang besar, yang masih terdapat dalam rekod mereka dan boleh berfungsi sebagai alat untuk meningkatkan keuntungan apabila diperlukan.

Memandang ke hadapan, firma penyelidikan itu menjangkakan Disember yang agak perlahan dengan percubaan terhad.

“Sebaliknya, ramai pelabur boleh diberi insentif untuk mengunci beberapa keuntungan dan mengelak daripada menetapkan penanda aras prestasi yang lebih tinggi untuk 2025,” katanya.

HLIB mengekalkan dua saranan “beli” terhadap RHB Bank Bhd dan AMMB Holdings Bhd, dengan harga sasaran masing-masing RM7.30 dan RM6.15, kerana ia mengekalkan panggilan “neutral” terhadap sektor itu sendiri.

Sementara tu, CIMB Research berkata, angka Oktober menunjukkan gambaran bercampur- campur penunjuk pinjaman utama yang perlahan, walaupun dari asas yang tinggi dan pertumbuhan deposit menjadi lemah, manakala pertumbuhan pinjaman meningkat dan kualiti aset bertambah baik.

“Pertumbuhan pinjaman meningkat semula kepada enam peratus tahun ke tahun pada Oktober 2024, daripada 5.6 petatus tahun ke tahun pada September 2024, disokong segmen isi rumah dan korporat.

“Pertumbuhan deposit lebih perlahan pada 3.2 peratus tahun ke tahun pada Oktober, berbanding 3.3 peratus pada September, terutamanya disebabkan pertumbuhan akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) menurun kepada empat peratus tahun ke tahun pada Oktober daripada 5.2 peratus tahun ke tahun sebelumnya.

“Nisbah pinjaman kepada deposit mengecil sehingga 88 peratus pada Oktober daripada 87.7 peratus pada September, kembali ke paras Ogos sebanyak 88 peratus. 

“Pilihan utama kami dalam sektor ini masih Hong Leong Bank Bhd. , AMMB dan Malayan Banking Bhd.,” katanya.-UTUSAN