E&O, Mitsui Fudosan Group jalin kerjasama bangun pangsapuri

Perniagaan

PETALING JAYA: Eastern & Oriental Berhad (E&O) jalin kerjasama dengan Mitsui Fudosan Group dari Jepun bangunkan pangsapuri mewah 51 tingkat, Conlay. 

Projek itu dijangka siap pada suku pertama 2025 dan  dibina dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM900 juta.

Conlay mempunyai 491 unit dengan keluasan 743 kaki persegi untuk pangsapuri satu bilik dan unit 1,335 kaki persegi  yang memuatkan susun atur dua-campur-satu bilik. 

Setiap unit dilengkapi dengan perkakas dan kemasan yang premium untuk memberikan kepuasan dan nikmat kehidupan di mana gaya moden diadun dengan keselesaan.

Direka oleh Kerry Hill Architects, Conlay diilhamkan sebagai satu menara tropika kontemporari di mana reka bentuk terkini ditambah keanggunan yang tidak akan lekang dengan peredaran waktu.

Dengan permukaan bangunan yang dihiasi dengan corak sirip serta bentuk yang menonjol, menara itu begitu menyerlah apabila dipandang dengan kota Kuala Lumpur sebagai latar yang  memberikan pemandangan panoramik.

Pengarah urusan E&O, Kok Tuck Cheong berkata pembangunan itu merupakan satu detik yang amat penting untuk syarikat serta visi mereka terhadap kehidupan bandar.

“Pembangunan ini mencerminkan komitmen syarikat terhadap hospitaliti dan ketelitian pertukangan dalam masa sama mengintegrasikan falsafah rekaan ikonik dari Kerry Hill. 

“Ia memberikan satu tempat istirehat yang elegan dan seimbang, di mana setiap butir turut diberi perhatian teliti untuk pengalaman kehidupan bandaran yang anggun,” katanya. 

Selain itu, beliau berkata, projek Conlay itu merupakan cerminan wawasan E&O dalam mencipta persekitaran mewah di tengah Kuala Lumpur. 

“Lokasinya yang strategik akan memberikannya kelebihan yang tidak dapat ditanding dari segi pengangkutan dan capaian kepada kemudahan bandar. 

“Terletak bersebelahan dengan stesen MRT Conlay, pembangunan ini membolehkan penghuninya berjalan kali ke pusat beli belah serta kemudahan rekreasi dan istirehat termasuk di  Pavilion Kuala Lumpur dan kawasan Bukit Bintang. 

Tambahnya, kawasan itu juga terletak berhampiran dengan wilayah kewangan Tun Razak Exchange (TRX) yang kian membangun, sekaligus menjamin capaian yang mudah kepada perkhidmatan perniagaan, hiburan dan beli belah. 

“Antara kemudahan premium yang direka untuk melengkapi gaya hidup bandar antaranya kolam renang infiniti yang dipanaskan, gim, sauna, ruang serba guna, dan ruang komuniti bertema seperti perpustakaan, bilik muzik, dan bilik permainan.

“Projek ini turut dilengkapi dengan ruang komersial gaya hidup dan F&B yang eksklusif di tingkat 50, memberikan kemudahan istimewa kepada penghuni,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah urusan Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia, Masayoshi Saito berkata, kerjasama bersama E&O untuk pembangunan itu menunjukkan dedikasi kami terhadap kehidupan bandaran yang unggul.

“Dengan memanfaatkan kepakaran E&O dalam pembangunan kediaman mewah dan hospitaliti, Conlay menonjolkan kekuatan kerjasama kami serta visi bersama untuk mencipta ruang ikonik bagi penghuni yang menghargai gaya hidup eksklusif,” katanya.-UTUSAN